Lelaki 'kantoi' salah guna fleet card, seludup diesel ke Thailand

Lelaki 'kantoi' salah guna fleet card, seludup diesel ke Thailand

am@hmetro.com.my

Tumpat: Kad subsidi diesel (fleet card) yang dibekalkan oleh pihak berkuasa untuk pembelian menggunakan harga subsidi disalah guna seorang lelaki tempatan dalam aktiviti penyeludupan.

Kegiatan itu terbongkar apabila lelaki berusia 49 tahun itu membuat pengisian diesel di tiga stesen minyak berlainan dalam tempoh hampir empat jam dalam tangki lori yang dipandunya.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pada 9.38 pagi semalam, pasukannya membuat pemerhatian di sebuah stesen minyak di Pengkalan Kubor dan ternampak sebuah lori Daihatsu membuat pengisian diesel ke tangki kenderaan itu.

“Pasukan kami mengekori kenderaan itu dan memasuki Pangkalan Haram Tualang, di sini, sebelum keluar semula dan menuju ke stesen minyak kedua di Wakaf Bharu.

“Selesai mengisi diesel, suspek menuju ke stesen minyak ketiga di Tendong, Pasir Mas, dekat sini dan turut membuat pengisian diesel yang menggunakan kad subsidi diesel.

“Pasukan kami terus mengekori sehingga tiba di jalan Kampung Simpangan, di sini, dan menahan kenderaan terbabit kira-kira 1 tengah hari semalam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan di dalam beg suspek menemukan dua keping fleet card , manakala diesel yang diisi dalam tangki lori itu sebanyak 90 liter dan dianggarkan bernilai RM460.80.

Katanya lagi, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel menggunakan lori bermula awal tahun lalu.

“Suspek memberitahu minyak diesel itu dijual dengan harga RM360 untuk satu tangki lori dengan anggaran 90 liter.

“Kekerapan suspek menyeludup diesel ke Thailand adalah antara dua hingga tiga kali sehari bergantung kepada permintaan pembeli dari Thailand yang diuruskan oleh kenalan bernama Pok Li.

“Cara suspek berhubung pula adalah dengan menggunakan aplikasi Zalo, manakala upah yang diterima pula kira-kira RM30 hingga RM40 untuk sekali perjalanan,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu mengaku mengisi minyak di beberapa stesen minyak di sekitar Kota Bharu dan Tumpat untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa dan aktiviti itu dibuat hanyalah untuk menyara keluarga.

Tangkapan dan barang rampasan diserah kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top