Kita seakan tidak pernah putus-putus dihidangkan dengan pelbagai laporan negatif peri laku generasi muda hari ini. Sudah pasti mereka yang mempunyai anak-anak yang masih berada di bangku sekolah, baik di sekolah rendah mahupun di peringkat menengah akan berasa gusar dengan perkembangan seperti itu.
Jika dahulu insiden keji dan di luar batas ajaran agama dan norma masyarakat hanya berlaku di luar sekolah, tetapi kini gejala negatif itu sudah mula berjangkit ke dalam kawasan sekolah. Kita menghantar anak-anak tidak lain adalah bertujuan mereka dapat menuntut ilmu dalam suasana persekitaran yang kondusif, selamat dan sejahtera.
Apabila berlakunya pelbagai insiden yang merisaukan hati kita sebagai ibu bapa, maka tidaak seharusnya kita cepat menuding jari menyalahkan pihak lain khususnya guru di sekolah. Sesungguhnya, kita amat yakin pendidik dan pihak pengurusan sekolah telah dan sedang mengorak pelbagai langkah dalam menjadikan sekolah sebagai wadah yang menimbulkan rasa aman, tenteram dan seronok untuk berada di situ.
Sebenarnya, kitalah yang menjadi ibu bapa anak yang pertama sekali bermuhasabah menungkil asbab musabah sesuatu gejala salah laku pelanggaran disiplin terjadi. Ibubapalah yang perlu memikul tanggungjawab penuh dalam memastikan anak-anak mendapat didikan, bimbingan dan asuhan yang baik. Rumah adalah sekolah pertama yang mengajar adab, membina akhlak.
Ibnu Abbas pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW suatu ketika bersamanya ada menuturkan yang kata Baginda: “Bukakanlah untuk anak-anak kalian pertama kalinya dengan kalimah ‘La ilaha illallah’ (Tiada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Allah).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Baginda SAW memintakan menghidupkan sunahnya dengan mengumandangkan azan di telinga kanan dan mengiqamatkannya pada telinga kiri anak-anak yang baru lahir. Inilah sebenarnya pendidikan pertama kita untuk menerapkan pendidikan iman ke dalam jiwa anak.
Tidak diragukan lagi amalan sunah itu memberikan impak jangka panjang yang sangat positif dalam membentuk sifat mulia dalam diri anak. Menerusi alunan azan dan iqamat di telinga anak yang baru lahir bermakna kita memperdengarkan kalimah agung yang membesarkan Tuhannya. Inilah pendidikan iman mengikut garis panduan sunah yang jangan sesekali kita abaikan. Abu Rafi’ memberitahu kita bahawa ayahnya pernah menceritakan kepadanya: “Aku melihat Rasulullah SAW telah mengazankan seperti azannya sembahyang di telinga Hasan bin Ali, sebaik sahaja Fatimah melahirkannya.” (Hadis sahih riwayat at-Tirmidzi) Ingatlah, bahawa iman itu tidak boleh diwarisi, namun kita masih mampu berusaha sedaya yang terikhtiar untuk memberikan pendidikan iman ke jiwa anak-anak kita.
Perkara kedua yang perlu kita laksanakan ialah mendidik anak halal dan haram apabila mereka mulai memasuki alam akil baligh (berakal). Dalam hal ini, Ibnu Abbas sekali lagi ada berpesan: “Ajarkanlah anak-anak untuk taat kepada Allah dan takut berbuat maksiat kepada-Nya serta suruhlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah dan menjauhi larangan. Kerana hal sedemikian akan memelihara diri mereka dan kamu dari api neraka.”
Kita teliti sepintas lalu intipati pesanan tersebut untuk kita gali ibrah buat kita semua. Pertama ialah perlunya kita seharusnya bertindak pantas tatkala anak-anak sudah mencapai usia berakal dengan membimbing mereka berkenaan segala aspek amal ibadah seperti solat dan sebagainya. Pun begitu kita perlu berwaspada jangan sampai kita bertindak secara keras dan tergesa-gesa. Ikut fasa-fasa dan secara beransur-ansur mencorakkan didikan.
Misalnya kita ambil aspek mengajar anak supaya bersolat. Amru al Ash mengatakan bahawa Rasulullah SAW dengan penuh ketegasan ada berpesan: “Perintahkan anak-anak kamu melaksanakan solat pada usia tujuh tahun dan pada saat mereka telah berusia sepuluh tahun, pukullah mereka jika mereka tidak melaksanakannya dan pisahkan tempat tidurnya.” (Hadis riwayat Hakim dan Abu Daud)
Lihatlah bagaimana susun atur kerja mendidik dalam aspek mendirikaan solat yang perlu kita patuhi itu. Ini bermakna pendidikan solat berada pada puncak ‘kurikulum’ pendidikan kepada anak-anak. Kosa kata ‘perintahkan’ adalah suatu kata bernada serius yang melambangkan pentingnya solat dijadikan tunjang dalam mendidik anak. Kita analisis sedikit lagi; fasa seterusnya yang lebih tegas dan tiada sebarang kompromi ialah semasa anak-anak kita berusia sepuluh tahun. Baginda SAW memberikan keizinan kepada kita untuk memukul anak sekiranya mereka liat dan enggan mematuhinya.
Tempoh masa dari usia tujuh tahun hingga mereka berumur sepuluh tahun memberikan kita ruang dan peluang yang banyak untuk membimbing anak-anak dalam perkara solat ini. Tiga tahun jangka masanya. Tak kan tiga tahun kita tidak mampu mengasuh dan mendidik anak-anak agar mula mencintai ibadah solat?
Kita masih lagi berligar di sekitar pesanan Baginda SAW tadi. Kali ini kita lihat pula dan cuba memahami dalam ertikata faham yang sebenarnya keizinan memukul anak sekiranya mereka enggan mendirikan solat. Boleh pukul, tetapi kaedah pukulan yang kita lakukan itu mesti dalam etika yang diharuskan.
Bukan memukul secara rambang dan disulami emosi marah keterlaluan sehingga meninggalkan kecederaan di anggota tubuh badan anak. Jika ini yang berlaku, kita sudah tergelincir dari etika yang sebenar.
Ingatlah, semasa mendidik menerusi kaedah memukul itu, elakkan dari terkena tempat yang sensitif dan mudah cedera seperti di kepala, dada dan perut. Peringatan Baginda SAW: “Janganlah memukul wajah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Perlu kita ingatkan pula akan hal ini, iaitu tahap-tahap dalam memukul. Pukulan pada tahap pertama kita tidak boleh memukulnya dengan keras dan menyakitkan badan anak. Cukup sekadar memukulnya dengan sekali hingga tiga kali pukulan pada tapak tangan ataupun kaki.
Seandainya hukuman pukul sehingga tiga kalipun masih belum mampu menjinakkan hati anak-anak kita, kita diizinkan memukulnya sehingga sepuluh kali. Sabda Baginda SAW: “Seseorang itu tidak boleh didera lebih dari sepuluh kali kecuali pada hukuman had-had Allah.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Taimiyah dan direkodkan dalam Kitab al-Iqna’ dan al-Mughni)
Inilah cara Islam mendidik anak. Biar kita menangis dahulu, kerana menangis di kemudian hari tiada gunanya.
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah
© New Straits Times Press (M) Bhd




