Inglewood (California): Kanada dan Afrika Selatan bakal mencipta satu lagi sejarah apabila bertembung dalam aksi pembukaan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, Ahad ini, dengan kedua-dua pasukan buat pertama kali beraksi di pentas kalah mati kejohanan itu.
Kanada mara melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama dalam penampilan ketiga mereka di Piala Dunia, manakala Afrika Selatan akhirnya menamatkan penantian selepas berjaya melakukannya pada percubaan keempat.
Afrika Selatan mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati hasil perubahan prestasi yang cukup ketara selepas memulakan kempen dengan aksi hambar.
Mereka tampil lebih menyerang ketika menewaskan Korea Selatan 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A, berbeza dengan pendekatan bertahan yang digunakan ketika tewas kepada tuan rumah bersama, Mexico, dalam perlawanan pembukaan.
Prestasi kurang meyakinkan pada awal kejohanan menyebabkan jurulatih berusia 74 tahun, Hugo Broos, menerima kecaman hebat.
Beliau kemudian menukar pendekatan kepada corak lebih ofensif ketika seri dengan Republik Czech, sebelum persembahan cemerlang menentang Korea Selatan membuahkan kemenangan menerusi jaringan Thapelo Maseko pada minit ke-63 untuk muncul naib juara Kumpulan A di belakang Mexico.
“Saya sangat bangga dengan persembahan pasukan. Saya rasa kami sudah memberikan jawapan kepada semua pengkritik yang sebelum ini mengatakan kami perlu mengubah banyak perkara,” kata Broos.
Kanada pula mencipta sejarah apabila meraih kemenangan pertama mereka di Piala Dunia dengan membelasah Qatar 6-0 di Vancouver.
Mereka turut mencatat keputusan seri menentang Bosnia dan Herzegovina sebelum tewas kepada Switzerland dalam aksi terakhir Kumpulan B untuk menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan.
Skuad kendalian Jesse Marsch sedikit kecewa kerana gagal muncul juara kumpulan, keputusan yang memaksa mereka meninggalkan Vancouver untuk aksi kalah mati.
Namun, mereka berharap lautan penyokong berbaju merah akan terus memberikan sokongan dengan merentasi sempadan ke Los Angeles.
“Kami minta maaf kerana terpaksa meninggalkan anda. Tetapi anda tidak perlu meninggalkan kami,” kata pasukan itu menerusi hantaran di media sosial.
Menjelang aksi penting itu, Kanada berharap kapten pasukan, Alphonso Davies, dapat kembali memperkuatkan pasukan selepas terlepas semua aksi peringkat kumpulan akibat kecederaan.
Marsch memberi bayangan pemain Bayern Munich itu berpeluang diturunkan.
“Kehadirannya mampu memberi impak besar kepada pasukan, bukan sahaja dari sudut fizikal dan corak permainan, malah meningkatkan semangat serta keyakinan kerana kapten dan pemain terbaik kami kembali bersama pasukan,” katanya.
Bagaimanapun, Kanada kehilangan pemain tengah, Ismael Kone, yang patah kaki ketika menentang Qatar, selain masih menunggu perkembangan kecergasan Stephen Eustaquio dan pertahanan tengah, Moise Bombito.
Afrika Selatan pula menerima suntikan positif apabila tonggak tengah, Teboho Mokoena, kembali daripada penggantungan.
Namun mereka masih tidak dapat menggunakan khidmat pemain berpengalaman, Themba Zwane, yang menjalani baki penggantungan tiga perlawanan susulan kad merah ketika bertemu Mexico.
© New Straits Times Press (M) Bhd




