harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay meluangkan masa menziarah waris dua anggotanya yang sudah meninggal dunia di kediaman mereka di Terengganu, semalam.
PDRM dalam satu hantaran di Facebook berkata, lawatan itu sebagai tanda penghargaan kepada pengorbanan dua anggota berkenaan iaitu Allahyarham Koperal Raja Asri Raja Mat dan Allahyarham Koperal Sokongan Wan Muhammad Firdaus Wan Nasi.
“Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghargai pengorbanan dan jasa anggota yang sudah meninggal dunia.
“Pada masa sama memberikan sokongan moral kepada waris mereka sebagai tanda kasih serta penghargaan atas bakti kepada pasukan,” kata hantaran itu hari ini.
Untuk rekod, Raja Asri meninggal dunia
akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 63, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu pada 30 Julai 2016.
Raja Asri yang ketika itu berusia 29 tahun bertugas di Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan dikenang atas semangat serta komitmennya dalam menjalankan tugas.
Sementara Wan Muhammad Firdaus pula bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Dungun, Terengganu meninggal dunia pada 2 Disember 2024 akibat dihanyutkan arus deras.
Allahyarham yang ketika itu berusia 36 tahun meninggal dunia akibat dihanyutkan arus deras ketika memberi bantuan di ladang sawit dilanda banjir terletak berhampiran rumahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




