am@hmetro.com.my
Baling: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh dari traktor ketika melakukan kerja di kebun di Kampung Bukit Rawa, Sedim, Malau, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, Balai Polis Malau menerima aduan daripada orang awam pada jam 4 petang memaklumkan terdapat kejadian lelaki terbaring dan muka berlumuran darah di lokasi kejadian.
Beliau berkata, sejurus menerima makluman, Ketua Polis Balai Malau bersama anggota serta pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling serta pasukan siasatan hadir ke tempat kejadian.
“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 28 tahun dan beralamat di Kampung Gelugor, Karangan, Kulim.
“Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri serta terdapat kesan cedera pada muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Salimi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ke kebun bersama dengan seorang lagi lelaki iaitu penjaga kebun.
Beliau berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari traktor ketika melakukan kerja di kebun.
”Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
”Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




