Pejalan kaki maut di Lebuhraya KL-Karak, polis cari pemandu langgar lari

Pejalan kaki maut di Lebuhraya KL-Karak, polis cari pemandu langgar lari

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang melanggar mati seorang pejalan kaki di Kilometer 42.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Karak, Bentong dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi membabitkan sebuah kenderaan yang jenis dan nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti.

Berdasarkan hasil siasatan awal, beliau berkata, mangsa dipercayai adalah lelaki tempatan dalam lingkungan usia antara 50 hingga 60 tahun.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika diperiksa di lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui memakai baju-T berwarna biru putih serta seluar panjang hitam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, pemandu terbabit didapati tidak memberhentikan kenderaan selepas melanggar mangsa, dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

“Polis memohon orang awam yang melihat kemalangan itu supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kerjasama mereka amat penting bagi membantu pihak polis mengenal pasti pemandu kenderaan berkenaan,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melalui talian 09-2222222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Gibil Rasiah (013-8626806).

Dalam pada itu, beliau berkata, mana-mana pihak yang ada kehilangan ahli keluarga, diminta hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bentong bagi tujuan pengesahan identiti.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top