London: Pep Guardiola dilaporkan tersenarai sebagai antara calon berpotensi untuk dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Itali.
Pengendali berusia 55 tahun itu kini sedang menikmati rehat yang sewajarnya selepas meninggalkan Manchester City pada Mei lalu, sekali gus menamatkan tempoh 10 tahun bersama kelab itu.
Namun, Guardiola mungkin kembali ke dunia kejurulatihan lebih awal daripada jangkaan apabila muncul sebagai antara calon bagi mengendalikan Itali.
Menurut laporan media Itali, La Gazzetta dello Sport, Guardiola kini berada dalam senarai pendek calon yang sedang dipertimbangkan oleh Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC).
Paolo Maldini, yang minggu lalu dilantik sebagai pengarah teknikal FIGC serta Presiden Club Italia, dikatakan mahu menunjukkan kesungguhan membina semula skuad kebangsaan dengan mendapatkan jurulatih bertaraf dunia.
Guardiola dianggap sebagai calon impian untuk mengemudi skuad Azzurri.
Bagaimanapun, gaji lumayan yang diterima Guardiola dijangka menjadi halangan terbesar untuk merealisasikan hasrat itu.
Dilaporkan, beliau memperoleh lebih £21 juta (RM114.6 juta) semusim ketika musim terakhirnya bersama Manchester City.
Beberapa kelab Serie A dijangka akan membantu menampung gaji jurulatih baharu Itali, namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menyamai pendapatan Guardiola ketika di England.
Bekas pengendali City itu juga dipercayai berminat mencuba cabaran dalam arena bola sepak antarabangsa pada satu ketika dalam kariernya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Guardiola turut kerap dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih England.
Selain Guardiola, bekas jurulatih Itali, Roberto Mancini dan Antonio Conte, turut disenaraikan sebagai calon yang berpotensi mengendalikan skuad Azzurri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




