Frank malu besar, Van de Ven, Spence enggan berjabat tangan

Frank malu besar, Van de Ven, Spence enggan berjabat tangan

London: Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank berdepan detik memalukan apabila dua pemain utamanya dikatakan menolak jabat tangan beliau sebaik tamat perlawanan menentang Chelsea, semalam.

Spurs tewas tipis 0-1 di Stadium Tottenham Hotspur dalam aksi yang berlangsung hambar, namun suasana menjadi tegang sebaik wisel penamat dibunyikan.

Dua pemain pertahanan, Micky van de Ven dan Djed Spence kelihatan berang dan terus menuju ke terowong pemain, sebelum Frank berjalan ke arah mereka untuk memberikan jabat tangan.

Namun, ketika Frank menghulurkan tangan, kedua-duanya dilihat mengelak dan terus berjalan tanpa memandang ke arahnya.

Tindakan itu nyata tidak disenangi pengendali berusia 51 tahun itu yang sempat menoleh ke arah mereka dengan pandangan tajam, manakala Spence pula dilihat mengangkat tangan seolah-olah melepaskan rasa kecewa.

Aksi berkenaan mengundang pelbagai reaksi penyokong di media sosial, dengan ada yang menyifatkan kejadian itu sebagai “tidak menghormati pengurus dan penyokong”.

Seorang lagi penyokong menulis: “Situasi itu memang janggal.”

Bagaimanapun, Frank yang dilihat sudah tenang ketika sidang media selepas perlawanan, enggan memanjangkan isu berkenaan.

“Semua pemain sudah tentu berasa kecewa. Mereka mahu bermain dengan baik, mahu menang, mahu beraksi cemerlang. Saya faham perasaan itu.

“Saya faham mengapa anda bertanya tentang perkara ini, tetapi saya rasa ia isu kecil sahaja. Semua orang kecewa,” katanya.

Van de Ven dikatakan terus menuju ke bilik persalinan selepas perlawanan sesuatu yang tidak mengejutkan memandangkan kesilapannya menjadi punca Chelsea memperoleh gol tunggal perlawanan.

Gol kemenangan The Blues hadir apabila Van de Ven kehilangan bola di kawasan sendiri sebelum Moises Caicedo sempat menolak bola kepada Joao Pedro untuk penyudah mudah pada separuh masa pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top