KPDN, KLFW 2026 jalin kerjasama promosi produk tempatan ke persada dunia

KPDN, KLFW 2026 jalin kerjasama promosi produk tempatan ke persada dunia

nurul_husna@mediaprima.com.my

​Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) julung kalinya mengadakan kerjasama strategik bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 dalam usaha memperkasa promosi produk tempatan ke peringkat lebih tinggi.

​Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu sebagai langkah susulan daripada pelancaran kempen ‘Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA)’ yang diperkenalkan pada 27 Jun lalu.

​”Kempen Jom Malaysia satu strategi transformasi kepada evolusi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang telah bermula sejak tahun 1984.

“Kerjasama dengan KLFW 2026 pula akan menjadi platform strategik dalam usaha memartabatkan produk dan jenama tempatan menerusi penganjuran temasya fesyen bertaraf antarabangsa yang sentiasa menjadi tumpuan pemain industri, peminat fesyen, pelancong serta media dari dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap pada pelancaran KLFW 2026, hari ini.

Armizan berkata, transformasi di bawah Jom Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai perubahan kosmetik semata-mata, sebaliknya ia membawa perubahan struktur yang lebih besar.

​”Transformasi Jom Malaysia satu anjakan menerusi empat teras utama iaitu Gerakan Nasional, Pendekatan Whole-of-Nation, Keterangkuman Produk Tempatan, dan Memperluas Pasaran.

​”Pendekatan memperluas pasaran ini akan membuka ruang seluas-luasnya kepada produk tempatan untuk berkembang daripada pasaran lokal ke pasaran global.

“KPDN melihat kerjasama strategik dengan KLFW 2026 adalah satu inisiatif yang sangat menepati keempat-empat teras yang digariskan ini,” katanya.

KLFW 2026 dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos 2026 di Esplanade, KLCC menyaksikan kira-kira 60 jenama tempatan, 35 pereka fesyen, dan lebih 20 rakan strategik industri.

Armizan berkata, pembabitan berskala besar ini membuktikan KLFW bukan sekadar pentas memperagakan kreativiti, tetapi juga pemacu ekonomi yang penting.

​Katanya, ia berperanan sebagai platform strategik dalam memperluas peluang perniagaan, menarik pelaburan serta membuka akses pasaran baharu kepada produk dan jenama Malaysia.

Menerusi platform itu, katanya, ia turut memperkenalkan segmen khas yang diberi nama Fashion Forward Batik Malaysia dengan menampilkan 30 rekaan eksklusif daripada 10 pereka fesyen tempatan.

“Koleksi ini menggunakan tekstil batik asli tempatan dari Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia yang diterjemahkan dalam rekaan kontemporari.

​”Ini sekali gus membuktikan warisan tempatan kita sebenarnya mampu bersaing dan memenuhi cita rasa pasaran premium serta antarabangsa,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Francis Tan yang juga rakan strategik minggu fesyen itu berkata, jumlah pengunjung dijangka terus meningkat terutama sempena Tahun Melawat Malaysia tahun ini.

“Jumlah pengunjung Suria KLCC ketika ini sudah mencecah angka 55 juta dan kita menjalin kerjasama dengan KLFW untuk penganjuran kali ketiga bagi meraikan produk dan rekaan fesyen tempatan.

“Malah salah satu ruang perniagaan turut memasarkan produk pereka tempatan.

“Ini tidak langsung mempromosi kreativiti dan karya tempatan yang boleh menjadi tarikan dan keunikan pelancong luar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top