Afee U-Topia kini tauke restoran

Afee U-Topia kini tauke restoran

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Pengalaman selama 36 tahun bergelar anak seni bukan satu masa yang singkat, tambahan pula penyanyi, Afee U-Topia turut melalui fasa pasang surut dalam kariernya.

Afee atau nama sebenarnya Mohamad Safee Soefjan, 61, yang memulakan langkah dalam nyanyian pada 1989 berkata, dia pernah menghilangkan diri dalam industri agak lama sekitar 12 tahun.

“Saya masuk dalam bidang bisnes, tapi tak menjadi sebelum kembali semula dalam dunia nyanyian dan sekarang sudah menjangkau 19 tahun.

“Ketika itu saya fokus dengan kerjaya menyanyi saja, ambil ‘show’ sana sini dan itu periuk nasi saya. Menyanyi adalah pendapatan utama.

“Sehinggalah baru-baru ini, seorang kawan tawarkan saya untuk buka restoran di kolam memancing di Templer Park, Rawang,” katanya.

Katanya, dia kemudian mula berfikir panjang berkenaan masa depan kerana sehingga bila aktif dalam bidang nyanyian.

“Saya terfikir, sampai bila aku nak menyanyi? Itu satu hal. Umur sudah meningkat. Kawan-kawan pun ada yang sakit dan tiba-tiba sakit. Bila tak ada pendapatan tetap, susah.

“Kecuali kalau isteri saya memang kerja kerajaan atau ada pendapatan. Kalau saya sakit, tak ada masalah sangat kerana dia ada, boleh membantu.

“Tapi, dia pula bekerja dengan saya sebagai pembantu peribadi merangkap pengurus dan pemandu saya. Jadi, kalau saya sudah tak boleh menyanyi, apa pendapatan kami?” katanya.

Memikirkan perkara itu, Afee yang popular dengan lagu Mithali Cintaku dan Maya Percintaan bersama kumpulan rock, U-Topia bersetuju mengendalikan restoran dinamakan Restoran Otai Lejen Afee U-topia.

“Dia cakap dia bagi saya peluang, apa saja dia sanggup ikut. Kalau saya nak, dia sanggup beri modal, jadi saya tanpa bertangguh terus cakap setuju.

“Kebetulan kami suami isteri pun pandai masak lalu saya terima walaupun susah macam mana pun. Memang dari dulu tak pernah terfikir pun yang saya akan buka restoran.

“Susah sebenarnya nak buka restoran kerana tak cukup tidur dan macam-macam lagi, tapi saya cuba dan Alhamdulillah menjadi. Sebenarnya seronok, tapi menyanyi tetap menyanyi juga,” katanya.

Afee gembira dengan sambutan pelanggan terhadap restorannya dan ia menjadi tular dalam kalangan masyarakat.

“Ramai mat motor buat restoran ini sebagai tempat lepak kerana tempat ini lapang. Saya juga gembira tempat ini jadi pilihan untuk buat majlis termasuk sambutan hari jadi,” katanya turut menyediakan aktiviti karaoke.

Terbaru, penyanyi, Ameng Spring meraikan sambutan hari jadi anaknya, Wan Ammar Haikal yang baru selesai terbabit dalam program realiti Talk To My Manager.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran peserta Talk To My Manager yang lain, peminat serta ‘rockers’ otai era 1990-an.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top