redzuan.muharam@hmetro.com.my
Pontian: “Saya akan berusaha mengubah nasib dan salah satu impian saya adalah nak ada rumah sendiri.”
Itu tekad Irwanshah Abdullah, 23, mesra disapa Wanca yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana kedua mata kabur dan mendapat perhatian warganet selepas berkongsi video di TikTok mengenai kisahnya menetap sendiri di sebuah rumah yang sudah lebih dua dekad terbiar di Pekan Nanas, dekat sini.
Selain kisahnya, Wanca mendapat pujian kerana kesungguhannya membersihkan dan kini dalam usaha mengecat rumah usang yang dipanggil ‘pondok’.
Menyingkap kisahnya, Wanca berkata, dia sebenarnya tinggal sebatang kara selepas pemergian Allahyarham ibu angkatnya, Anisah Ahmad, kira-kira tiga tahun lalu.
“Saya ‘burnout’ (kelelahan fizikal, mental dan emosi) selama lebih sebulan selepas pemergian emak kerana berasa sangat kehilangan.
“Mana tidaknya, saya bukan hanya nampak kepayahan emak melakukan bermacam kerja untuk membesarkan saya malah turut menjadi pelindung kerana dulu, ada yang mengejek saya disebabkan ada masalah penglihatan.
“Tapi sekarang saya sudah reda dan bersyukur kerana sempat menjaga arwah emak ketika sakit walaupun tidak sempat membalas jasanya yang meninggal dunia akibat diabetes, masalah jantung dan kerosakan buah pinggang,” katanya kepada Harian Metro.
Berkongsi kisahnya, Wanca berkata, dia tinggal di rumah yang sama selama tiga bulan pertama selepas pemergian ibu angkatnya namun keluar selepas menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pemasaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor.
Bagaimanapun, Wanca dibantu seorang lelaki warga emas iaitu datuk kepada rakannya, Wan Muhammad Daniel Wan Muhammad Fariq, 23, yang membenarkannya tinggal di rumah terbiar seperti dikongsikan di media sosial.
“Selepas sambung pengajian, kebanyakan masa saya di kampus dan tak tinggal lagi di rumah ibu kerana ada waris arwah yang nak menetap di situ.
“Tapi atuk bantu dengan beri saya tinggal di sebuah rumah terbiar jadi bila cuti semester, saya akan bermalam di situ.
“Kiranya, ia ibarat rumah singgah buat saya… rumah itu agak usang tapi sebelum saya tinggal di situ, atuk ada datang bersihkan dan masih boleh didiami malah ada bekalan elektrik juga air.
“Cuma ruang dalamnya kosong jadi ada beberapa barangan saya bawa dari rumah lama,” katanya.
Katanya, sudah tiga tahun dia menumpang teduh di rumah berkenaan dan mengakui banyak memori tercipta sepanjang tinggal di situ.
“Syukur ada tempat tinggal malah masih menetap di ‘pondok’ ini kerana sekarang saya sedang menjalani latihan industri di syarikat kimia dekat Gelang Patah, Johor.
“Sejak hari pertama sampai sekarang, saya selesa tinggal di sini dan tak pernah pula berdepan pengalaman seram walaupun tinggal di rumah yang sudah lama terbiar.
“Baru-baru ini pun, saya saja berkongsi video kisah perjalanan tinggal sendiri di ‘pondok’ dan tak sangka perkongsian itu meraih tontonan tinggi.
“Ia kerana saya hanya rakam dan guna suara latar memandangkan saya takut dengan kamera tapi cuba cabar diri.
“Takut juga ada komen negatif tapi syukur, ramai mendoakan,” katanya.
Menurut Wanca, dia menerima takdir tertulis buatnya kerana menganggap ia perjalanan hidup yang perlu dilalui.
“Apa yang dilalui mengajar saya untuk bersyukur kerana percaya, kita perlu berlapang dada dan usaha mencari kebahagiaan juga kesenangan.
“Saya pun berhasrat untuk terus berkongsi lagi video yang bermanfaat dan berusaha keras untuk menikmati kehidupan lebih baik kerana usaha perlu, selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




