MELAKA – Pakatan Harapan (PH) kekal dengan keputusan untuk menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri susulan pendirian gabungan itu menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kepimpinan PH bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH Melaka yang diadakan pada Khamis bagi membincangkan perkembangan semasa politik negeri.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut mengesahkan keputusan penarikan diri lima ADUN PH daripada kerajaan negeri selepas memuktamadkan pendirian berhubung usul pindaan berkenaan.
“Penarikan diri daripada kerajaan negeri ini adalah selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi bahawa apabila seseorang EXCO atau ADUN daripada kerajaan negeri tidak lagi menyokong sesuatu usul kerajaan di Dewan Undangan Negeri, mereka tidak lagi layak menerima keistimewaan dan kemudahan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Khamis.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Pada Rabu, Adly menerusi sidang akhbar semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka memaklumkan, PH Melaka akan membuat keputusan muktamad berhubung pendirian gabungan itu terhadap kerajaan negeri menerusi satu mesyuarat khas yang diadakan pada Khamis.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut mengambil kira pandangan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta DAP Melaka menangguhkan keputusan keluar daripada kerajaan negeri bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
Keputusan menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka oleh empat ADUN DAP dak seorang ADUN Amanah dibuat selepas DUN Melaka meluluskan usul ADUN lantikan.
Mereka ialah ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin; ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong; dan ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen serta Adly (Bukit Katil)
Dalam pada itu, Adly berkata, mesyuarat berkenaan turut memutuskan Ahli Majlis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daripada PH akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai ini bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
“PH Melaka merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kerajaan negeri dan penjawat awam atas kepercayaan serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam pentadbiran negeri.
“Kesemua ADUN PH akan terus memberi tumpuan dan menggandakan usaha serta khidmat kepada rakyat Melaka tanpa mengira fahaman politik sehingga tamat mandat yang diberikan,” katanya.



