Lelaki maut pergaduhan di Taman Alam Megah, tiga lagi suspek ditahan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tiga daripada tujuh individu diburu polis berhubung kes pergaduhan menyebabkan seorang lelaki maut di Taman Alam Megah di sini, bulan lalu, berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an ditahan sekitar daerah ini antara 4 hingga 7 September lalu.

“Siasatan sudah dijalankan dan memperoleh arahan pertuduhan.

“Ketiga-tiga suspek itu akan dituduh dalam masa terdekat, manakala polis masih memburu empat lagi suspek yang terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 149 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes pergaduhan yang menyebabkan kecederaan di Taman Sri Muda pula, tiada tangkapan baharu setakat ini.

Media sebelum ini melaporkan polis memburu 10 individu termasuk tujuh suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Taman Alam Megah itu, selain mengeluarkan lakaran wajah mereka.

Pergaduhan sekumpulan lelaki itu bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

Siasatan mendapati perebutan kawasan antara dua kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan gangsterisme menjadi punca insiden serangan dan tetakan berkenaan.

Kedua-dua kumpulan itu dipercayai bergiat di sekitar Shah Alam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top