mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua anggota kumpulan Freshies, Ina dan Melor memohon maaf kepada peminat kerana tidak dapat bersama Shima dan Ejie yang berjuang dalam Gegar Vaganza musim ke-12.
Penjelasan mereka dibuat oleh Ina atau nama sebenarnya, Mazlena Morat di platform TikToknya.
“Terlebih dahulu saya nak minta maaf pada Kak Shima dan Ejie sebab saya tak dapat berjuang bersama-sama dengan mereka dalam GV12 kali ini.
“Seperti semua sedia maklum, pertamanya saya tak dapat join sebab tak dapat keizinan daripada suami. Keduanya, saya ada masalah tulang belakang, skoliosis yang agak kronik juga.
“Saya tak boleh berdiri lama. Jadi saya rasa tak boleh nak buat persembahan, komitmen dalam masa yang panjang, rasa-rasanya tak mampulah,” katanya.
Sementara itu, Melor atau Melor Ulong Idris pula kini menetap di Australia dan mempunyai komitmen sendiri.
“Saya tak dapat menyertai Gegar Vaganza untuk musim ni bersama Ejie dan Kak Shima kerana kini berada di Brisbane, Australia sebagai tenaga pengajar di Madrasah Al-Jaster untuk mengajar anak-anak membaca al-Quran, macam sekolah agama.
“Oleh kerana itu, saya tak dapat untuk memberikan komitmen bersama dengan Freshies dan itu adalah sebab-sebab utamanya,” katanya.
Mereka mendoakan yang terbaik buat Shima dan Ejie, selain meminta peminat agar terus menyokong Freshies.
“Good luck untuk Kak Shima dan Ejie. Kami serahkan perjuangan ini pada mereka. Semoga dapat buat yang terbaik, kekal sampai final.
“Kepada peminat-peminat yang menyokong Freshies, jangan lupa undi dan pastikan Freshies menjadi Juara Gegar Vaganza 12,” kata mereka.
Untuk rekod, sebelum terkenal sebagai Freshies, semua anggotanya adalah penyanyi latar untuk kumpulan Wings.
Mereka juga menjadi penyanyi latar Datuk M. Nasir ketika membawakan lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud yang kemudian memenangi Anugerah Juara Lagu 1994.
Freshies juga sering menjadi pilihan ramai artis terkenal sebagai penyanyi latar bagi mengiringi persembahan dalam konsert besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




