Makkah: Mereka bukanlah askar dan tidak membawa senjata mahupun memakai seragam ketenteraan, namun kelibat “Semut Hitam” di sekitar Masjidil Haram cukup dikenali dalam kalangan jemaah haji Malaysia.
Dengan pakaian serba hitam dan jalur hijau sebagai identiti di lapangan, pasukan rondaan khas Lembaga Tabung Haji (TH) itu menjadi antara individu terawal yang akan membantu apabila jemaah tersasar, keliru arah atau memerlukan bantuan segera di tengah lautan manusia di bumi Makkah.
Di sebalik jumlah anggota yang kecil, peranan mereka cukup besar, khususnya ketika jutaan umat Islam mula memenuhi kawasan ibadah utama sepanjang musim haji.
Ketua Unit Rondaan TH Ahmad Fauzee Mohamad Salleh berkata pasukan yang terdiri daripada 15 anggota itu ditempatkan di enam pos kawalan strategik sekitar Masjidil Haram dan kawasan bas bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas kepada jemaah Malaysia.
“Fungsi kami sebagai barisan kedua. Bila jemaah tersasar atau perlukan bantuan segera, kami akan terus bergerak ke lokasi,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata kebanyakan jemaah, khususnya yang kali pertama menunaikan ibadah haji masih keliru dengan laluan dan sistem zon penginapan walaupun taklimat awal telah diberikan sebelum mereka tiba di Tanah Suci.
Dalam cuaca panas mencecah 41 darjah Celsius dan kepadatan manusia yang semakin meningkat di sekitar Masjidil Haram, anggota “Semut Hitam” sentiasa bersedia membantu jemaah yang memerlukan.
“Ada yang hanya ikut warna beg tanpa semak warna lanyard zon penginapan. Akhirnya mereka tersasar dan naik bas ke lokasi yang salah,” katanya.
Ahmad Fauzee berkata sistem zon penginapan diperkenalkan bagi membantu jemaah mengenal pasti kawasan penginapan masing-masing, selain mengelakkan mereka memasuki zon yang tidak sepatutnya.
Beliau berkata anggota rondaan ditempatkan di laluan utama dan kawasan tumpuan jemaah bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan secara menyeluruh sepanjang masa.
Selain membantu jemaah yang tersasar, pasukan “Semut Hitam” turut menjadi respons awal dalam situasi kecemasan termasuk membantu jemaah yang sakit, sesak nafas atau terpisah daripada kumpulan.
Malah, setiap anggota turut menjalani latihan asas bantuan kecemasan dan CPR bagi membolehkan rawatan awal diberikan sebelum jemaah dihantar ke fasiliti kesihatan berhampiran.
Ahmad Fauzee berkata pasukan itu beroperasi dalam tiga syif setiap hari bagi memastikan kehadiran mereka di lapangan sentiasa berterusan.
“Walaupun kami kecil dari segi bilangan, peranan kami sangat penting kerana kami bergerak terus kepada jemaah,” katanya.
Di sebalik kesibukan jutaan manusia yang hadir menunaikan ibadah di Masjidil Haram, kehadiran “Semut Hitam” mungkin tidak begitu disedari ramai, namun bagi jemaah Malaysia yang pernah dibantu, mereka ibarat talian hayat yang sentiasa ada pada saat diperlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




