Ingat nasihat ibu jadi sandaran kejayaan

Ingat nasihat ibu jadi sandaran kejayaan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

SIRI 3

Meskipun pernah berhadapan pelbagai kata-kata kurang menyenangkan termasuk dilabel sendu, tetapi kini Wani Kayrie, 25, boleh dikatakan sudah berada pada tahap tersendiri.

Umpama peribahasa ‘usaha takkan mengkhianati hasil’, Wani kini amat bersyukur dengan apa yang diperolehnya hasil titik peluh sendiri termasuk mempelbagaikan bakat sebagai pelakon.

Baginya, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha kerana perlu berani mencuba sekali gus jangan peduli kata-kata orang kerana setiap peluang yang datang adalah rezeki maka buat yang terbaik.

Tanpa jemu berusaha, Wani sudah mampu mencapai impian usia mudanya untuk memiliki kereta mewah jenama Mercedes, yang dianggap ‘reward’ untuk diri sendiri.

“Saya menyanyi sudah lama, malah juga berlakon. Jadi, hasil dari pendapatan itu saya berasa wajar untuk ‘reward’ diri sendiri, malah membuatkan saya perlu terus bekerja keras.

“Pada usia sekarang amat penting ada rasa bertanggungjawab dalam menguruskan komitmen sendiri dengan hasil kerja. Bagi saya sangat penting juga untuk kita melabur.

“Terutama untuk aset kerana pada masa depan pun, saya tak tahu berapa lama boleh bertahan sebagai penyanyi. Jadi, dengan adanya rezeki dan kelebihan sekarang, saya ambil nasihat ibu saya.

“Ibu selalu ingatkan saya untuk tidak bersikap boros membeli, buat perkara yang tidak berfaedah, namun lebih kepada tambah aset dan komitmen untuk masa depan yang lebih terancang,” katanya.

Ditanya juga mengenai lagu Cak Cak Cekuk nyanyiannya yang kini menjadi siulan, Wani berkata, dia bersyukur dan tidak menyangka lagu itu disukai sekali gus diterima baik pelbagai peringkat usia.

“Saya bersyukur kerana selepas sekian lama, saya ada juga sebuah single yang menaikkan kembali nama dalam industri. Maklumlah, agak lama lagu-lagu saya tidak begitu hit seperti Cak Cak Cekuk.

“Alhamdulillah, mungkin ini juga adalah hasil sokongan peminat-peminat yang lama menantikan karya berunsur tradisional moden yang kini menjadi trend juga dalam industri muzik,” katanya.

Mengulas harapannya dalam karier†seni, Wani berkata, dia sentiasa melihat sudut positif, potensi baharu serta berusaha mendapatkan lagu bersesuaian mengikut genre yang disukai pendengar.

“Semoga setiap lagu saya diterima baik oleh semua lapisan masyarakat tidak kira usia kerana setiap apa yang saya hasilkan adalah untuk semua orang rasa seronok dan enjoy bila mendengarnya.

“Ini kerana bagi setiap penyanyi kalau sesebuah lagu dinyanyikan itu berjaya, insya-Allah orang akan terus memberikan sokongan untuk lagu-lagu yang lain sampai bila-bila. Jadi, terus usaha,” katanya.

Katanya, dia mahu berpesan kepada generasi muda bahawa mereka perlu berani mengejar cita-cita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top