Tak susah jaga beg kulit berjenama

Tak susah jaga beg kulit berjenama

asmaini@mediaprima.com.my

BEG daripada material kulit asli bukan sekadar pelengkap gaya, malah ia juga pelaburan fesyen yang mencerminkan personaliti dan cita rasa seseorang wanita.

Namun, tanpa penjagaan yang betul, beg kulit mahal itu boleh menjadi cepat kusam, retak atau berubah warna.

Selain menghantar ke kedai khas untuk proses mencuci, anda sebenarnya boleh menjaga sendiri beg tangan kulit kesayangan di rumah kerana caranya tidaklah sesusah mana.

Berikut beberapa tip mudah untuk memastikan beg kesayangan anda kekal menawan seperti baharu.

Simpan di tempat yang sesuai.

Elak meletakkan beg di tempat panas atau lembap kerana haba tinggi boleh menyebabkan kulit kering dan merekah, manakala kelembapan pula mengundang kulat.

Cara penyimpanan terbaik ialah di tempat teduh dan sejuk, sebaiknya dalam beg anti debu atau sarung kapas khas bagi mengelakkan habuk.

Jangan biar bentuknya ‘lari’.

Apabila tidak digunakan, isi bahagian dalam beg dengan tisu tanpa pewangi atau kertas minyak supaya bentuk beg kekal.

Sebaiknya, elak menggunakan kertas surat khabar kerana dakwat boleh meninggalkan kesan pada lapisan dalam beg kesayangan anda.

Elak terkena air.

Material kulit asli mudah rosak jika terdedah kepada kelembapan atau air.

Jika beg terkena hujan contohnya, lap segera dengan kain lembut dan biarkan kering secara semula jadi.

Jangan sesekali menggunakan pengering rambut atau dedahkan beg secara terus di bawah panas matahari.

Bersihkan secara berkala.

Gunakan kain mikrofiber lembap untuk mengelap habuk dan kotoran ringan pada beg kulit kesayangan anda.

Bagi penjagaan lebih mendalam, gunakan pembersih khas untuk barangan berasaskan kulit (leather cleaner) setiap beberapa minggu.

Ia dapat membantu mengekalkan kelembapan semula jadi dan mengelak kulit beg menjadi keras.

Gunakan krim pelembap kulit.

Sama seperti kulit manusia, beg kulit juga perlukan ‘pelembap’. Sapukan krim pelembap khusus untuk kulit lembut dan licin.

Lakukan sebulan sekali supaya permukaannya tidak mudah retak, kering atau rapuh.

Asingkan daripada bahan lain.

Jangan simpan beg kulit bersama barangan yang boleh meninggalkan kesan warna seperti denim, minyak wangi atau losyen badan.

Ini kerana, bahan kimia dan pewarna boleh menyebabkan perubahan warna kekal yang sukar dipulihkan.

Sentiasa berhati-hati ketika digunakan.

Elak menggantung beg kulit di tempat yang sempit seperti belakang kerusi atau pintu kereta.

Selain itu, jangan letak beg kulit mahal anda di atas permukaan yang boleh merosakkan luarannya.

Geseran berlebihan boleh menyebabkan kulitnya mudah calar selain merosakkan struktur tali atau pemegang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top