BERSATU Ampang desak Muhyiddin letak jawatan

BERSATU Ampang desak Muhyiddin letak jawatan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : BERSATU bahagian Ampang memutuskan menarik balik kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Bahagian BERSATU Ampang, Daing Mohamad Daing Makati berkata, mereka turut mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan secara terhormat dengan segera, demi memulihkan perpaduan serta keyakinan ahli-ahli terhadap masa depan parti.

“Menyeru agar satu pelan transisi kepimpinan dilaksanakan dengan tertib dan inklusif, bagi memastikan BERSATU kekal kukuh dan berdaya saing menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

Ketetapan itu kata beliau dicapai selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa BERSATU Ampang berlangsung pada 28 Oktober lalu, antara lain untuk membincangkan secara terbuka dan mendalam berkaitan perkembangan mutakhir yang membabitkan hala tuju dan kestabilan dalaman parti.

“Sekali lagi diulangi, keputusan ini dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Bahagian Ampang selepas mengambil kira pandangan dan aspirasi ahli di peringkat akar umbi yang mengharapkan perubahan demi kelangsungan perjuangan parti yang dicintai,” katanya.

Katanya, bahagian itu menyedari akan pergolakan dalaman yang sedang dihadapi BERSATU, khususnya membabitkan hubungan antara Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan parti dengan sebahagian besar kepimpinan di peringkat bahagian di seluruh negara.

“Menginsafi bahawa kegagalan kepimpinan tertinggi, khususnya Presiden, dalam menangani dan menasihati kedua-dua pemimpin itu untuk memperkukuh hubungan dalaman parti sudah membawa kepada perpecahan yang semakin meruncing dalam kalangan akar umbi serta kepimpinan bahagian,” katanya.

Sebelum ini, BERSATU memecat lima ketua bahagiannya termasuk Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Ia berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top