Pan-gon tiada dalam radar TFC

Pan-gon tiada dalam radar TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) menafikan dakwaan pihaknya sedang ‘mengintai’ bekas ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon bagi membimbing pasukan itu.

Sebaliknya jurulatih kelahiran Korea Selatan berusia 56 tahun itu tiada dalam radar skuad Penyu setakat ini.

Perkara ini ditegaskan sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), yang menyatakan dakwaan yang berlegar dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu hanyalah khabar angin.

“Berita yang berlegar dalam laman sosial yang mengaitkan bekas jurulatih kebangsaan itu bakal melatih pasukan TFC bagi menggantikan jurulatih, Badrul Afzan Razali hanyalah khabar angin sahaja.

“Lagipun setakat ini pihak kami belum lagi bermesyuarat mengenai perkara berkenaan.

“Harap peminat setia skuad Penyu tidak terpedaya dengan dakwaan berkenaan, mereka perlu menanti berita yang sahih daripada pihak kami bagi mengelak sebarang kekeliruan,” ujar sumber itu ketika dihubungi.

Terdahulu pihak pengurusan TFC memberikan tempoh tiga perlawanan kepada Badrul Afzan untuk meningkatkan prestasi pasukan sebelum tindakan drastik bakal diambil terhadap jurulatih muda itu.

Susulan itu, nama bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu berlegar dalam laman sosial yang dikatakan cuba diintai skuad Penyu.

Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Super setakat ini, skuad TFC menghuni di tangga keempat daripada 13 pasukan dan pencapaian itu setakat ini boleh dibanggakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top