ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bersedia menempuh satu lagi cabaran besar dalam kariernya apabila bakal beraksi bersama pasukan MT MSi Racing pada Moto3 Grand Prix (GP) Portugal hujung minggu ini.
Penampilan di Litar Autodromo Internacional do Algarve, atau lebih dikenali sebagai Portimao, menjadi satu lagi peluang berharga buat pelumba berusia 18 tahun itu untuk menimba pengalaman di pentas Moto3 Kejuaraan Dunia, selepas membuat kemunculan sulungnya di GP Malaysia bulan lalu sebagai pelumba wildcard.
Ketika itu, pelumba kelahiran Terengganu berkenaan mempamerkan potensi memberangsangkan di hadapan penyokong sendiri di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun gagal menamatkan perlumbaan akibat masalah teknikal.
Kali ini, Hakim Danish tampil dengan misi baharu apabila diberi kepercayaan menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka, yang terpaksa direhatkan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan dan tidak dapat meneruskan dua baki perlumbaan musim ini, GP Portugal dan Valencia.
Hakim Danish tiba ke Portimao berbekalkan keyakinan tinggi selepas menamatkan saingan Kejohanan JuniorGP di Barcelona minggu lalu dengan keputusan positif, tempat kesembilan bagi Perlumbaan 1 dan tempat keenam dalam Perlumbaan 2.
“Saya amat berterima kasih kepada pasukan MSi Racing kerana mempercayai saya dengan peluang ini untuk menggantikan Ryusei Yamanaka, yang kini sedang dalam proses pemulihan selepas pembedahan. Saya mendoakan agar beliau cepat sembuh sepenuhnya.
“Selepas perlumbaan JuniorGP di Barcelona, saya berasa yakin, bermotivasi dan bersedia menghadapi hujung minggu Moto3 ini. Ia satu langkah luar biasa bagi saya, dan saya mahu belajar sebanyak mungkin sambil memberikan prestasi terbaik di litar,” katanya.
Litar Portimao yang digelar ‘Roller Coaster’ kerana bentuknya yang berbukit serta kombinasi 9 selekoh ke kanan dan 6 ke kiri bakal menguji keupayaan fizikal dan mental setiap pelumba, termasuk Hakim Danish yang kini semakin matang dalam menyesuaikan diri dengan jentera kelas dunia.
“Saya akan bekerjasama rapat dengan pasukan dan krew bagi memastikan kami bersedia sepenuhnya dan kompetitif. Saya sangat teruja untuk mewakili MSi Racing dan akan memberikan segala-galanya minggu ini,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




