'Berapa kali nak suruh turun… sudahlah' – Anwar

'Berapa kali nak suruh turun… sudahlah' – Anwar

suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas desakan pihak yang menyuruh beliau meletakkan jawatan susulan tindakan Malaysia menandatangani perjanjian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) bersama Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Beliau berkata, desakan seperti itu perlu dihentikan kerana tidak timbul soal pengkhianatan, penjajahan atau penyerahan kepada AS melalui perjanjian terbabit.

Katanya, sebaliknya Malaysia bukan satu-satunya negara yang melakukan perjanjian itu, sebaliknya negara gergasi ekonomi baharu, China juga melakukan tindakan sama.

“Isu yang hangat di sebelah sana mengenai perjanjian perdagangan kerana ini terkait bukan sahaja dengan Malaysia tetapi ASEAN.

“Negara China, gergasi ekonomi baharu pun masih berunding soal tarif dengan AS…kita tidak terkecuali… ini soal menyerah, soal khianat, soal gadai, soal penjajahan baharu.

“Ini nak turun sekali lagi pula, berapa kali nak suruh turun…sudahlah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan, kerana mendakwa perjanjian ART menggugat kedaulatan negara serta hak Melayu dan Raja-Raja.

Mahathir dilaporkan menuduh perjanjian itu memaksa Malaysia membeli barangan AS bernilai USD150 bilion, termasuk 30 pesawat Boeing dan gas bernilai AS$3 bilion setahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top