surayaroslan@mediaprima.com.my
Lebih dua dekad Nurul Izlan Nurul Anuar, 42, mengembara di awan biru.
Setiap hari, dia memulakan langkah dengan satu tujuan, memastikan setiap perjalanan di awan biru berlangsung dengan tenang dan selamat.
Tempoh 21 tahun bukan waktu yang singkat untuk seorang lelaki mengekalkan senyum yang sama, walau ribuan wajah datang dan pergi di hadapannya.
Bagi ketua pramugara sebuah syarikat penerbangan tempatan, Nurul Izlan berkata, kerjaya berkenaan bukan saja membawanya ke pelbagai negara, malah menemukannya dengan penumpang serta individu hebat.
Katanya, kerjaya itu juga penuh warna-warni dengan semuanya boleh dijadikan kenangan serta panduan dalam hidup.
Nurul Izlan masih ingat lagi detik pertama dia melangkah masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2004.
Umurnya baru 21 tahun, baru tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan mencari arah hidup.
Ketika rakan-rakan lain memilih kerja pejabat, dia terpanggil dengan dunia penerbangan, dunia yang katanya memberi ruang untuk melihat dunia dari jendela langit.
“Saya dikelilingi keluarga yang semuanya dalam bidang penerbangan, bapa saya juga seorang ketua pramugara di sebuah syarikat penerbangan sebelum bersara, daripada situ saya cuba temu duga untuk menjadi kru kabin.
“Temu duga pertama tidak mudah, perlu lancar berbahasa Inggeris, layanan pelanggan, keselamatan penerbangan, semua diuji.
“Saya berpegang pada satu prinsip, jangan takut mencuba kerana yang paling berani bukan yang paling kuat, tetapi yang tidak mudah menyerah,” katanya.
Menjejakkan Kaki Ke Lebih 50 negara
Lebih dua dekad berada di awan biru, Nurul Izlan sudah menjejaki 50 negara dan setiap negara dan bandar mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan.
“Inilah yang sering ditanya orang ramai, kerjaya ini sebagai pembuka jalan juga untuk saya menjejakkan kaki ke negara orang.
“Sepanjang kerjaya, mungkin lebih 50 negara sudah dilawati, tapi semuanya atas tiket kerja,” katanya.
Kerjaya di awan biru mengajarnya banyak perkara mengenai hidup, daripada mengurus penumpang yang panik sewaktu gelora di udara, membantu ibu muda menenangkan bayi menangis, hingga mengurus bantuan kecemasan di udara.
Di situlah Nurul Izlan belajar mengenai erti tenang dalam kekalutan.
“Langit tak selalunya biru. Ada kalanya kita kena terbang menembusi ribut, tapi tugas kami adalah memastikan semua penumpang rasa selamat,” katanya.
Di sebalik profesionalismenya, Nurul Izlan akui, cabaran terbesar bukan di udara, tetapi di darat iaitu menyeimbangkan kerjaya dengan keluarga.
“Jadual terbang yang tidak menentu membuatkan saya kerap terlepas majlis keluarga, perayaan atau waktu bersama isteri tersayang, Khairunnisa Salleh, 41.
“Tetapi, saya bersyukur dikelilingi keluarga yang sangat memahami kerjaya saya, terutama isteri yang sememangnya mengetahui jadual kerja yang padat dan tidak menentu.
“Jika dulu saya rasa bersalah, tapi saya belajar bahawa pengorbanan ini juga demi keluarga,” katanya lagi.
Disiplin dan Harga Sebuah Tanggungjawab
Bagi Nurul Izlan, dunia penerbangan bukan sekadar profesion, ia adalah latihan hidup yang membentuk disiplin diri.
Bangun seawal pagi, semak dokumen penerbangan, pastikan pakaian rapi, kasut berkilat dan senyum tidak pernah lekang di bibir.
Semua itu bukan lakonan tetapi tanda profesionalisme.
“Ada yang beranggapan kru kabin cuma hidang makanan dan senyum. Tetapi sebenarnya kami dilatih untuk jadi penyelamat.
“Kami belajar pertolongan cemas, keselamatan kebakaran, dan cara mengurus emosi penumpang ketika krisis. Semua itu perlukan ketenangan yang lahir daripada disiplin,” katanya.
Kini, selepas 21 tahun, Nurul Izlan menjadi antara kru senior yang dihormati.
“Sepanjang berada di awan biru, saya tidak dapat melupakan peristiwa pada 2018 apabila seorang juruterbang kami yang ketika itu sedang bercuti untuk bertemu keluarganya, tiba-tiba tidak sedarkan diri dalam penerbangan pulang ke Indonesia.
“Saya dipanggil ketua pramugara ketika itu untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), selama 30 minit CPR dilakukan, juruterbang yang bertugas ketika itu kemudian membuat keputusan untuk melakukan lencongan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
“Setibanya di lapangan terbang, juruterbang itu terus dibawa ke hospital berdekatan sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya.
Akuinya, kehilangan itu tidak mudah kerana arwah cukup dikenali sebagai juruterbang yang sangat baik dan mesra dengan semua kru.
Makna Maskulin yang Sebenar
Ketika ditanya apa makna maskulin baginya, Nurul Izlan tersenyum.
“Dulu saya fikir maskulin itu mengenai gaya, baju kemas, tubuh sihat, aura yakin. Tapi selepas dua dekad di udara, saya sedar maskulin sebenar ialah tanggungjawab.
“Maskulin itu apabila kita sanggup bangun jam 3 pagi untuk pergi kerja tanpa mengeluh. Bila kita tahu penat tapi tetap senyum pada penumpang. Bila kita tahu keluarga merindui tapi tetap kuat sebab amanah kita besar.
“Itu maskulin yang sebenar,” katanya,
Hidup Nurul Izlan bukan kisah luar biasa, tapi kisah yang penuh makna.
Di antara ribuan kaki di udara, dia belajar erti tanggungjawab, cinta dan ketenangan.
Dunia mungkin nampak kecil dari jendela pesawat, tapi di situ dia menemui keluasan hati.
“Selama 21 tahun saya terbang, saya sedar satu perkara, kita semua penumpang dalam perjalanan hidup, dan tugas kita, sama seperti di pesawat, menjaga diri, menghormati orang lain dan sentiasa bersyukur,” katanya.
Langit di luar mungkin berubah warna setiap hari, tapi bagi Nurul Izlan, awan biru akan sentiasa jadi rumah keduanya, tempat dia belajar terbang, jatuh dan akhirnya menemui makna sebenar menjadi lelaki sejati.
© New Straits Times Press (M) Bhd




