Flick puji kebangkitan Yamal

Flick puji kebangkitan Yamal

Bruges: Pengurus Barcelona, Hansi Flick, mengakui gembira melihat Lamine Yamal kembali mempamerkan prestasi terbaiknya namun mengingatkan pemain muda sensasi itu agar terus berhati-hati menguruskan kecederaan pangkal pahanya selepas membantu Barca seri 3-3 menentang Club Brugge dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Selepas beberapa minggu bergelut dengan kecederaan yang berlarutan, pemain berusia 18 tahun itu meneruskan momentum cemerlang selepas menjaringkan gol pertama liga minggu lalu dengan satu lagi aksi bertenaga di Belgium apabila Barca bangkit tiga kali menyamakan kedudukan untuk membawa pulang satu mata.

Aksi dramatik itu menyaksikan Nicolo Tresoldi dan Ferran Torres saling bertukar jaringan awal sebelum Carlos Forbs mengembalikan kelebihan buat tuan rumah menjelang rehat.

Yamal kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 menerusi penyudah tenang selepas larian solo menembusi benteng pertahanan lawan.

“Saya gembira melihat Lamine kembali beraksi di tahap ini. (Namun) kita tidak tahu apa akan berlaku esok atau Ahad nanti. Yang penting, dia perlu bijak menguruskan keadaannya kerana ia bukan sesuatu yang mudah,” kata Flick.

“Dia perlu beri tumpuan sepenuhnya terhadap cara latihan, rawatan, dan diharapkan kesakitannya akan hilang sepenuhnya.”

Gol Yamal itu terhasil selepas menerima hantaran di luar kotak penalti, meloloskan diri daripada dua pertahanan, sebelum melakukan satu-dua pantas bersama Fermin Lopez dan menyudahkan bola dengan penuh bergaya.

“Saya hanya cuba buat yang terbaik. Gerakan itu berlaku dengan pantas dan Fermin beri saya hantaran cantik, saya cuma selesaikannya,” kata Yamal selepas perlawanan.

Namun, Brugge kembali di depan menerusi Forbs pada minit ke-63, sebelum percubaan kedua Yamal terkena Christos Tzolis dan menghasilkan gol sendiri yang memastikan keputusan berakhir 3-3.

Yamal turut menafikan dakwaan bahawa kecederaan pangkal pahanya memberi kesan kepada emosinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top