Pelakon versatil, Ummi Nazeera mengakui watak yang dibawanya dalam drama terbaharu berjudul Saat Aku Tahu merupakan antara karakter paling mencabar sepanjang karier lakonannya.
Menurut Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 35, naskhah tersebut menuntut kekuatan fizikal, emosi dan mental kerana sarat dengan konflik dan lapisan emosi yang kompleks.
“Naskah ini antara naskah yang sukar untuk saya lakukan kerana ia melibatkan emosi, fizikal dan mental.
“Terutama fizikal, saya rasa sangat penat. Ada sedikit babak yang melibatkan aksi.
“Watak ini susah untuk dibawakan kerana terlalu banyak lapisan maksudnya kadang-kadang watak ini boleh jadi baik atau jahat.
‘”Maira adalah watak yang tersakiti dan menyakiti, jujur memang penat untuk bermain dengan karakter seperti ini,” katanya.
Ummi berkongsi perkara demikian usai tayangan perdana drama Viu berjudul, Saat Aku Tahu yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada, Rabu.

Tambahnya, dia juga berdepan rasa takut dek kerana terlalu menjiwai watak ‘Maira’ dalam drama berkenaan.
“Suatu hari ketika saya bawa karakter ini, tiba-tiba saya rasa sangat takut malah sudah lama tidak merasakan seperti itu.
“Sebab ia adalah sebuah babak yang menakutkan maksudnya sangat berat kerana saya merasakan watak ini keterlaluan. Namun graf karakter ini sangat menarik untuk ditonton,” jelasnya.
Mengulas mengenai gandingannya bersama pelakon Hisyam Hamid, Ummi menjelaskan, tiada sebarang babak melibatkan sentuhan fizikal antara mereka, sebaliknya produksi menggunakan teknik kamera bagi mencipta kesan yang lebih realistik.
Malah, sebagai wanita berhijab ibu anak satu ini menegaskan dia sentiasa menjaga batas dan berharap penonton memahami tanggungjawabnya sebagai pelakon profesional.
“Nak bawa watak dalam naskhah bertemakan curang memang bukan mudah sebab banyak isu sensitif. Saya dan Hisyam tak ada sebarang sentuhan langsung, semuanya guna kamera trick untuk nampak realistik.
“Sebagai wanita bertudung, saya tetap jaga maruah dan batas. Saya tak pernah lakukan babak begitu sebelum ini, jadi saya harap penonton dapat menilai dengan hati terbuka,” ujarnya.

Sekadar info, drama 15 episod ‘Saat Aku Tahu’ merupakan drama psikologi romantik yang menyentuh tentang kepercayaan, kekecewaan dan dendam dalam hubungan.
Selain Ummi anatran barisan pelakon hebat yang turut membintangi drama ini adalah, Hisyam Hamid, Anna Jobling, Luqman Hafidz, Datuk Eizlan Yusof dan Quinneyra Alyssha.
Drama ‘Saat Aku Tahu’ akan menemui penonton pada 6 November ini, di platform Viu pada setiap hari Khamis dan Jumaat.




