Gamel mohon maaf selepas Selangor tersingkir awal

Gamel mohon maaf selepas Selangor tersingkir awal

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Permohonan maaf dizahirkan pengendali sementara Selangor FC (SFC), Christophe Gamel kepada penyokong Red Giants di atas kegagalan pasukan meraih tiga mata penuh, kelmarin.

Kekalahan 3-2 di tangan Persib Bandung dalam saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu menyaksikan perjuangan pasukan terhenti, sekali gus tersingkir lebih awal musim ini.

Gamel mengakui betapa beliau kecewa dengan persembahan beberapa pemain senior yang dilihat gagal untuk memberikan impak dalam membantu pasukan pada aksi terbabit.

Jelasnya, mereka bermula dengan baik tetapi kesilapan yang dilakukan membuatkan mereka dihukum dengan jaringan lawan yang akhirnya membawa kepada kekalahan.

“Kita memegang perlawanan ini tetapi kita melepaskannya. Inilah yang saya katakan seperti sebelum ini mengenai konsistensi, kesinambungan dan kekuatan mental.

“Kita dihukum di peringkat tertinggi jadi sudah tentu kami kecewa kerana tersingkir daripada pertandingan ini. Kami tahu kelemahan kami dan memang jelas kita kekurangan dari segi fizikal.

“Saya rasa babak pertama sangat baik tetapi kami memberi harapan kepada mereka. Ia adalah kesilapan individu dan apabila kita melakukan perkara seperti ini, inilah yang perlu kita terima,” kata Gamel.

Tumbang dalam tiga aksi terdahulu, SFC jelas berada pada landasan tepat untuk meraih kemenangan sulung apabila mendahului 2-0 selepas babak pertama menerusi jaringan Chrigor Moraes dan gol sendiri, Patricio Matricardi.

Persib bangkit dengan tiga gol di separuh masa kedua menerusi jaringan Andrew Jung sebelum Adam Alis Setyano meledak dua gol untuk memastikan tiga mata penuh milik pelawat.

Musim ini, SFC mengharungi kempen ACL II yang sangat mengecewakan selepas gagal meraih sebarang mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Mereka hanya meledak enam gol namun bolos 13 gol dalam empat perlawanan yang diharungi setakat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top