WASHINGTON: Presiden Joe Biden, semalam berkata Amerika Syarikat (AS) melonjakkan eksport vaksin COVID-19 ke negara lain bagi merebut semula ‘kepemimpinan AS’ dalam usaha memerangi pandemik itu, mengetepikan saingan dari China dan Russia.
Biden mengesahkan lebih 20 juta dos vaksin COVID-19 dikeluarkan dalam tempoh enam minggu lagi, menjadikan keseluruhan 80 juta diperuntukkan bagi penghantaran, pada akhir Jun depan.
Ia didorong tekanan terhadap pentadbiran Biden daripada kerajaan lain untuk menggunakan lebihan vaksinnya bagi membantu negara lain yang kini mencapai kemajuan signifikan dalam program vaksinasi.
Inisiatif itu turut menyuarakan kebimbangan Moscow dan Beijing mengambil kesempatan krisis di seluruh dunia untuk menyebarkan pengaruh melalui edaran vaksin nasional keluaran mereka, seolah-olah pertembungan ‘diplomasi vaksin’.
Biden berkata, AS mungkin mengukuhkan kedudukan sebagai pemimpin secara mudah, menjelang Julai depan, selain menjelaskan Washington tidak menggunakan pelancaran itu untuk mempengaruhi negara lain.
“Ini menjadikan lebih banyak bekalan vaksin dikongsikan, lima kali lebih banyak daripada negara lain.
“Russia dan China menyumbangkan 15 juta dos. Banyak dakwaan mengenai Russia dan China cuba mempengaruhi dunia menggunakan vaksin. Kami ingin memimpin dunia dengan nilai di negara kami.
“Kami tidak akan menggunakan vaksin untuk mendapatkan pengaruh dari negara lain,” katanya ketika berucap di Rumah Putih.
Rumah Putih bagaimanapun tidak menjelaskan negara diberi keutamaan bagi penghantaran itu, tetapi Biden memberi isyarat Washington akan membantu India melandaikan penularan pandemik itu.
Sebanyak 60 juta dos awal sudah dijanjikan, membabitkan vaksin AstraZeneca dihasilkan Britain yang belum digunakan dan mungkin tidak diperlukan AS.
Eksport akan bermula sejurus menerima kelulusan regulator kesihatan AS.Biden berkata, 20 juta dos berikutnya akan merangkumi vaksin digunakan di AS, iaitu Pfizer, Moderna, dan Johnson & Johnson. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




