am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Ejen Insurans hilang wang simpanan berjumlah RM372,645 selepas ditipu pelaburan tidak wujud menerusi media sosial Facebook.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, mangsa lelaki tempatan berumur 36 tahun mendakwa kejadian bermula pada 28 September lalu, ketika berada di kediamannya di Taman Puteri Wangsa, di sini.
Katanya mangsa berminat dengan iklan pelaburan menerusi Facebook dan berhubung dengan suspek.
“Mangsa kemudiannya diminta memuat turun aplikasi pelaburan dan membuka akaun sendiri menggunakan maklumat peribadi mangsa.
“Mangsa tidak dijanjikan pulangan keuntungan yang tetap, tetapi mangsa melihat akaun miliknya di dalam aplikasi menunjukkan pertambahan wang.
“Mangsa membuat pindahan wang tunai 26 kali transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza bermula 28 September hingga 4 Oktober lalu, dengan jumlah keseluruhan RM372,645,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azrul, hasil semakan mendapati nombor akaun bank yang digunakan tidak mempunyai rekod jenayah.
Katanya selepas bayaran dibuat, mangsa mendakwa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan dan terus diminta membuat bayaran untuk mengeluarkan wang keuntungan.
“Mangsa tidak meneruskannya kerana merasa curiga dengan permintaan suspek, apabila belum menerima pulangan dari pembayaran pertama dan disyaki telah ditipu.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan butiran akaun bank yang terbabit, merekod keterangan pihak bank dan semakan bersama pihak telco bagi mengenal pasti nombor telefon suspek serta mengesan dan menangkap suspek yang terbabit,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




