Seludup rokok seludup dalam kenderaan mewah untuk kaburi pihak berkuasa

Seludup rokok seludup dalam kenderaan mewah untuk kaburi pihak berkuasa

am@hmetro.com.my

Kemaman: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar taktik penyeludupan rokok menggunakan kenderaan mewah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dihidu pihak berkuasa selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire dan merampas pelbagai jenis rokok putih di dalam kenderaan itu.

Pengarah Kastam negeri Terengganu, Hasbollah Din, berkata hasil maklumat awam, pihaknya mengesan kenderaan mewah itu yang ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Dusun Nyior, di sini.

“Pemeriksaan yang dibuat ke atas kenderaan itu, kami menemui 352,800 batang rokok putih pelbagai jenama dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan bernilai RM319,228.80,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Daerah Kemaman, di sini, hari ini.

Hasbollah berkata, hasil siasatan awal mendapati rokok berkenaan dibawa dari luar negeri ini dan dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pihak kami sedang giat mengesan individu yang terbabit dalam kegiatan itu.

“Kenderaan berkenaan serta rokok yang dirampas untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top