Alaves masih sayang Garces, enggan terburu-buru buang pemain warisan Harimau Malaya

Alaves masih sayang Garces, enggan terburu-buru buang pemain warisan Harimau Malaya

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelab Deportivo Alaves mengambil langkah untuk terus mengekalkan pemain warisan Malaysia, Facundo Garces di dalam skuad berkenaan meskipun berdepan masalah susulan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan pemain itu sebelum ini.

Menerusi laporan Futbol Fantasy, Presiden Deportivo Alaves, Alfonso Fernandez de Troconiz memberi bayangan kelab Garces itu tidak akan mengambil apa-apa tindakan selagi tiada keputusan akhir dari FIFA.

Katanya, apa yang terjadi antara pemainnya itu di luar kawalan mereka dan sudah pasti Garces mempunyai hak untuk melakukan sesuatu.

“Ia isu di luar kawalan kelab, ia perkara peribadi baginya. Namun, ia jelas memberi kesan kepada kami kerana kami tidak dapat menggunakan khidmatnya.

“Isu itu masih berjalan dan buat masa ini, tiada apa yang berubah bagi kami kerana selagi belum ada keputusan muktamad, dia masih mempunyai hak untuk membuat rayuan.

“Kami terus mempercayai pemain itu serta haknya untuk didengar. Kami akan lihat apa yang berlaku dan akan menunggu,” katanya seperti dilaporkan Futbol Fantasy.

Selain Garces, enam lagi pemain yang turut terpalit dengan isu pemalsuan dokumen adalah Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca.

Sebagai rekod, FIFA sebelum ini menolak rayuan FAM sekali gus mengekalkan semua hukuman termasuk penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (RM10,374) kepada setiap pemain manakala FAM turut dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta).

Namun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memohon alasan bertulis daripada FIFA dan akan meneliti langkah susulan termasuk kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sebelum ini, Palmero menjadi pemain pertama menerima kesan penggantungan FIFA apabila kontraknya bersama kelab divisyen tiga Sepanyol, CD Tenerife ditamatkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top