sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski memaklumkan keputusan untuk tidak menyenaraikan pemain naturalisasi, Romel Morales kerana pemain itu tidak bersedia menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 18 November ini.
Menurut Cklamovski, beberapa pertukaran perancangan perlu dilakukan selepas Romel tidak dapat diturunkan, meskipun menampilkan aksi cemerlang ketika menentang Laos bulan lalu apabila meledak dua jaringan untuk membantu Malaysia menang 5-1 dalam dalam perlawanan itu.
Malah, hasrat untuk menggunakan khidmat bintang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail juga terpaksa dilupakan atas sebab yang tidak dapat dielakkan menjelang Kumpulan F.
“Kedua-duanya tidak bersedia untuk perlawanan menentang Nepal. Romel mengalami sedikit kecederaan yang menjejaskan prestasinya jika kami memanggilnya.
“Bagi Jambu (Afiq), dia tidak dapat menyertai pasukan kerana urusan keluarga dan perlu bersama keluarganya buat masa ini, jadi dia tidak tersedia untuk kem kali ini,” katanya.
Jumaat lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 27 pemain yang dipanggil oleh jurulatih kelahiran Australia ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula, hari ini.
Daripada senarai pemain yang dipilih untuk perlawanan Nepal nanti, terdapat pihak mempertikaikan mengenai pemilihan Junior Eldstal yang dilihat kurang mendapat tempat bersama pasukan utama JDT.
Namun, Cklamovski tampil mempertahankan pemilihan Eldstal sambil menganggap pemain itu sebagai antara tambahan terbaik kerana saiznya dalam skuad Harimau Malaya ketika ini.
“Dia (Eldstal) berlatih dengan sangat keras. Saya tahu ada banyak spekulasi mengenai pemilihan (pemain), tetapi saya berasa dia tambahan yang baik untuk pasukan.
“Dia akan berlatih bersungguh-sungguh untuk merebut tempat. Tiada siapa yang automatik dapat tempat dalam kesebelasan utama dan semua 27 pemain perlu berjuang dalam setiap sesi latihan.
“Saya menantikan persaingan itu, walaupun saya harap boleh pilih semua untuk bermain. Itulah persaingan sihat yang kami mahu dalam kem ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
