UEFA tangguh ancaman boikot FIFA, namun terus tingkatkan tekanan

Monaco: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menangguhkan buat sementara rancangan untuk menarik diri daripada pertandingan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selepas badan induk bola sepak dunia berkenaan mengesahkan projek kontroversi FIFA Forward Enterprise telah dibatalkan secara kekal.

Badan induk bola sepak Eropah itu berkata ia menerima jaminan bertulis bahawa cadangan yang diperjuangkan Presiden FIFA, Gianni Infantino, untuk menjual pegangan dalam Piala Dunia akan datang kepada pelabur luar telah ‘ditarik balik secara muktamad dan kekal’.

“Selepas memperoleh dua jaminan yang diperlukan daripada FIFA pada 30 Julai lalu, serta selepas berunding dengan Persatuan Kebangsaan masing-masing, UEFA bersetuju untuk menggantung secara sementara rancangan penarikan diri pasukan Eropah daripada pertandingan FIFA pada musim akan datang,” kata UEFA.

Bagaimanapun, UEFA menegaskan krisis tadbir urus lebih luas yang melanda FIFA masih belum diselesaikan, malah pegawai bola sepak Eropah sebulat suara memberi mandat kepada badan itu untuk meneroka ‘setiap saluran institusi, politik dan perundangan yang tersedia’ bagi mendapatkan pembaharuan serta mengembalikan had terhadap kuasa presiden.

UEFA turut menggesa supaya ‘semakan luaran yang benar-benar bebas’ dilakukan terhadap cadangan FIFA Forward Enterprise yang gagal itu.

“FIFA tidak boleh menyiasat dirinya sendiri dan mengharapkan komuniti bola sepak menerima sahaja kesimpulannya,” kata badan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top