Daripada penagih kini 'Top 3' tokan

Daripada penagih kini 'Top 3' tokan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Dikenali sebagai ‘Top 3’ tokan dadah dan popular dalam kalangan pihak berkuasa di kawasannya, malah pernah ditahan sebanyak enam kali sebelum ini kerana terbabit dalam kegiatan haram itu walaupun usianya baru 20 tahun.

Beroperasi di sekitar Lembah Klang dengan mempunyai dua runner yang membantunya untuk penghantaran urus niaga hantaran tunai (COD) dadah jenis syabu, ganja dan eramin 5 kepada pelanggan, Danish (bukan nama sebenar) itu juga aktif dalam penghantaran magic mushroom melalui kurier.

Berkongsi kisahnya, Danish mengakui dia mula terjebak dalam penyalahgunaan dadah di rumah sendiri kerana abang kandung ketika berusia 14 tahun.

“Ketika itu abang ajak kawan dia masuk bilik untuk menghisap dadah dan saya disuruh cover supaya mak ayah tak tahu. Selepas itu, abang bagi saya cuba syabu dan sejak itu saya mula ketagihan dadah.

“Selain mengambil dadah, abang juga mengedar bahan terlarang itu secara kecil-kecilan dan saya juga bantu dia tetapi tak lama selepas itu abang ditahan polis. Sebelum dibawa pergi, abang pesan pada saya supaya berubah dan jaga keluarga kami,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dia kemudiannya kembali bersekolah dan mendakwa meninggalkan kegiatan haram itu namun tidak bertahan lama kerana dia yang berhenti sekolah di tingkatan 5 bertemu kembali ‘bos’ lama yang memujuknya untuk kembali kepada kegiatan lama.

Katanya, ketika itu juga dia sudah mula merantau dan bekerja dengan menggunakan wang simpanannya sebanyak RM3,000 sebagai modal pertama untuk membeli dan mengedar dadah.

“Ketika itu saya ada masalah keluarga, kewangan dan peribadi. Tanpa fikir panjang saya termakan pujukan dan tawaran diberikan ‘bos’ kerana ketika itu saya hanya mahu dengan cara mudah dan cepat.

“Sasaran saya semua penagih tegar termasuk remaja dan saya hanya akan deal melalui WhatsApp. Saya ada nama gelaran dan semua penagih kenal saya, malah polis juga kenal saya di kawasan berkenaan.

“Selain lelaki saya juga ada pelanggan perempuan yang kebanyakan mereka mengambil mushroom dan saya boleh pos cecair itu seluruh negara,” katanya memberitahu abangnya dihukum penjara lima tahun.

Dakwa Danish, dia pernah mendapat keuntungan sehingga hampir RM30,000 sebulan di usia remaja dan itu ‘menggelapkan’ matanya untuk terus aktif mengedar dadah.

Katanya, dia pernah menghantar syabu seberat 1.5 kilogram (kg) di negeri utara dan ‘bos’ yang membekalkan barang terlarang itu turut memberinya ‘wang risiko’ sebanyak RM10,000 untuk trip penghantaran itu.

“Wang risiko itu akan digunakan jika ditahan pihak berkuasa sebagai duit tepi dan jika perjalanan itu selamat tanpa sebarang kejadian, wang itu akan menjadi milik saya.

“Kalau saya jual sendiri, saya akan beri kepada runner biasanya satu gram (g) syabu dijual pada harga RM120 dan harga akan berubah mengikut tempat.

“Kehidupan saya memang tak ‘lurus’ ketika itu, saya dijaga ‘bos’ dan ada duit banyak. Saya habiskan duit dengan berjudi dan perempuan. Kawan pula memang sokong dan selalu suruh saya jual dadah sebab mudah untuk mereka juga.

“Itu yang buat saya lupa pesanan terakhir abang yang minta saya berubah dan jaga keluarga, saya hanya tahu seronok saja ketika itu. Saya pernah beberapa kali direman dan ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam,” katanya.

Menurutnya, kali pertama dia ditahan selepas kembali aktif mengedar dadah pada 2023 dan terbaru pada Julai lalu dan kini sedang menunggu prosiding dan hukuman mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top