Lengkap AI SuperNight 2.0 & kalis air 10m, DJI Osmo 360 II kini di Malaysia

Kuala Lumpur : DJI Malaysia secara rasmi melancarkan kamera panorama generasi terbaharu, DJI Osmo 360 II di pasaran tempatan yang dibekalkan dengan pelbagai teknologi pengimejan terunggul bagi menghasilkan kandungan kreatif bertaraf profesional.

Bermodalkan inovasi lebih dua dekad, peranti terbaharu ini mengadunkan teknologi kawalan herotan fotografi udara, penstabilan gimbal siri Ronin, serta sains warna canggih daripada siri Osmo Action.

Jurucakap DJI Malaysia memaklumkan, model baharu ini adalah penambahbaikan signifikan daripada kamera 360° dan dron 360° terdahulu menerusi sokongan penderia imej HDR segi empat terbaharu.

“Penggunaan penderia baharu ini meningkatkan kecekapan sensor sebanyak 25 peratus sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga bateri tanpa menjejaskan kejelasan rakaman pada waktu siang atau malam.

“Dipadankan dengan ciri AI SuperNight 2.0, ia membolehkan peranti merakam imej persekitaran cahaya malap dengan sangat kemas. Kamera ini turut dibekalkan dengan kanta ultra-keras yang boleh diganti serta storan terbina dalam berkapasiti gergasi 105 GB,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran hari ini.

Kamera aksi inovatif ini turut direka khas untuk peminat sukan lasak dan aktiviti luar menerusi pelbagai keupayaan teknikal antaranya kemudahan menunggang, aktiviti dalam air, kalis cuaca ekstrem, serta stabil untuk berbasikal.

Di pasaran Malaysia, DJI Osmo 360 II ditawarkan dalam tiga pilihan kombo dengan harga bermula daripada RM2,189.

Istimewa sempena pelancaran, pelanggan yang membuat pembelian dan mengaktifkan peranti ini bakal menerima pelan perlindungan DJI Care Refresh satu tahun percuma, tawaran sah sehingga 30 September ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top