PRU16: Yakin kekuatan prestasi, PAS Terengganu tawar calon PM jika diberi mandat

PRU16: Yakin kekuatan prestasi, PAS Terengganu tawar calon PM jika diberi mandat

PAS Terengganu menawarkan calon Perdana Menteri dari negeri itu dengan menyifatkan rekod pentadbiran hampir dua penggal sebagai bukti pemimpin negeri berkenaan mampu mengurus negara.

Lihat pencapaian kerajaan negeri sejak ambil alih pentadbiran

Memetik laporan daripada FMT, Perwakilan PAS Terengganu, Wan Mat Sulaiman menyatakan pencapaian kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran pada 2018 membuktikan kemampuan PAS dalam aspek tadbir urus, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, antara pencapaian yang boleh dijadikan ukuran ialah penilaian Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) yang meletakkan Terengganu sebagai negeri terbaik di Malaysia dari segi ketelusan pengurusan bajet.

“Ini bermaksud kita mempunyai aset (pemimpin) yang begitu penting, yang mampu untuk mengurus kewangan negara walaupun dalam keadaan terbatas.
“Oleh yang demikian, jika pusat mahu, PAS Terengganu ingin menawarkan calon perdana menteri daripada Terengganu,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa.
PRU16: Yakin kekuatan prestasi, PAS Terengganu tawar calon PM jika diberi mandat

Foto: FB Muktamar Tahunan PAS

Pelaburan Terengganu sebanyak RM7.58 bilion pada 2025

Wan Mat menambah, Terengganu yang dipimpin Menteri Besar, Samsuri Mokhtar turut mencatat pelaburan sebanyak RM7.58 bilion pada 2025, iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan negeri itu.

Menurutnya, pencapaian berkenaan lebih bermakna apabila ia dicapai ketika Terengganu berdepan kekangan kewangan serta isu royalti petroleum dengan kerajaan pusat.

Tambahnya, Terengganu turut memperoleh pengiktirafan sebagai negeri paling bahagia pada 2024 yang menurutnya mencerminkan kejayaan kerajaan negeri mencapai matlamat menjadikan Terengganu sebuah negeri yang ‘maju, berkat dan sejahtera’.

“Ini bukti, ini keyakinan kita kepada rakyat yang kita nak beritahu bahawa PAS sudah mempunyai bukti, bahawa kita mampu mentadbir negara dengan baik,” katanya.

Foto: Malaysia Gazette

Jelasnya lagi, pengalaman PAS mentadbir Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis di bawah kerangka SG4 akan menjadi asas untuk rakyat menilai kemampuan parti itu sekiranya diberi peluang mentadbir di peringkat persekutuan.

Sumber: Berita FMT (Faiz Zainudin)

Scroll to Top