'Transporter' dicekup bersama 98 kilogram ganja

'Transporter' dicekup bersama 98 kilogram ganja

am@hmetro.com.my

Kuantan : Polis menahan seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ dadah dan merampas ganja seberat 98 kilogram bernilai lebih RM303,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di kawasan rehat dan rawat, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, di Maran, kira-kira jam 7 petang, 6 November lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan dipandu lelaki itu polis menemui 41 bungkusan plastik lutsinar berisi ganja dalam tiga kotak.

Katanya, turut ditemui 61 bungkusan plastik lutsinar berisi ganja dalam empat guni tercatat tulisan dalam bahasa asing.

“Siasatan mendapati lelaki berasal dari Kedah dan ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.

“Suspek juga mengaku bertindak sebagai ‘transporter’ mengangkut dadah dengan upah antara RM2,000 dan RM3,000 bagi setiap penghantaran.

“Siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui tempat bekalan dadah berkenaan diperolehi dan lokasi ganja itu akan dihantar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Yahaya, saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine.

Katanya, lelaki terbabit juga mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk lapan kes dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b, Akta Dadah Berbahaya 1952. Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top