Rodri beri amaran kepada Portugal

Rodri beri amaran kepada Portugal

Dallas: Kapten Sepanyol, Rodri memberi amaran kepada Portugal bahawa juara Eropah itu masih belum mempamerkan kemampuan sebenar menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, awal pagi esok.

Menurut pemain tengah itu, prestasi Sepanyol semakin meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan mereka masih mempunyai ruang besar untuk menjadi lebih baik.

“Kami berkembang secara berperingkat sepanjang kejohanan ini.

“Perkara itu normal kerana pada aksi awal kami perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran, keadaan padang dan corak permainan lawan yang berbeza.

“Kami sentiasa berkembang dan tahu cabaran sebenar bermula sekarang,” katanya.

Sepanyol yang muncul antara pilihan memburu kejuaraan memulakan kempen dengan keputusan mengejut apabila diikat 0-0 oleh Cape Verde.

Bagaimanapun, mereka bangkit membelasah Arab Saudi 4-0 sebelum menewaskan Uruguay 1-0 untuk muncul juara kumpulan.

Skuad kendalian Luis de la Fuente kemudian meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan 3-0 ke atas Austria pada pusingan 32 terbaik sekali gus mengukuhkan status sebagai antara pencabar utama kejuaraan.

Rodri berkata, keputusan seri ketika menentang Cape Verde tidak menjejaskan keyakinan pasukan kerana mereka berjaya mengawal keadaan dan terus fokus terhadap misi di kejohanan itu.

“Kami tidak panik atau hilang arah selepas keputusan itu. Kami kekal tenang dan saya percaya masih ada banyak ruang untuk kami meningkatkan prestasi,” katanya.

Sepanyol akan berdepan Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo dalam aksi yang dijangka menjadi antara perlawanan paling menarik pada pusingan 16 terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top