Wanita maut terperosok bawah lori, anak cedera

Wanita maut terperosok bawah lori, anak cedera

am@hmetro.com.my

Kluang: Wanita maut manakala anak lelakinya cedera dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Kilometer 55.6, Jalan Batu Pahat-Mersing, berhampiran sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Lebih menyedihkan mangsa Zalina Suratman, 59, dilaporkan meninggal dunia ketika terperosok di bawah lori dalam nahas jam 3.15 petang itu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Batu 4 menghala ke bandar Kluang.

Katanya, tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang lelaki berusia 32 tahun bersama ibunya dari arah sama, dikatakan hilang kawalan ketika cuba mencelah antara dua buah lori.

“Kedua-dua mangsa terjatuh menyebabkan ibunya yang membonceng motosikal digilis lori.

“Mangsa parah di perut dan dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal cedera di tangan dan kaki dan menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Bahrin berkata, orang ramai mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 (hotline) atau 07-7784256 dan 014-365682.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top