ercy.gracella@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 338 kesalahan membabitkan penyalahgunaan kad pengenalan direkodkan dari 2021 sehingga Oktober lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sejumlah 3,418 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai agensi bagi membanteras kesalahan berkaitan penyalahgunaan kad pengenalan dan sijil kelahiran.
Sepanjang tempoh berkenaan katanya sebanyak 1,377 tangkapan dibuat dengan sebanyak 843 pendakwaan direkodkan di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Selain itu, sebanyak 525 membabitkan pendakwaan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), manakala baki Sembilan tidak membabitkan pendakwaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 338 kesalahan adalah khusus berkaitan penyalahgunaan kad pengenalan di bawah Peraturan 25(1)(e), iaitu 232 kes kad pengenalan palsu dan 106 kes membabitkan penggunaan kad pengenalan orang lain.
“Pecahan lanjut menunjukkan 172 kes membabitkan warga Filipina, 132 kes (Indonesia), manakala 34 kes membabitkan lain-lain negara.
“Sebahagian daripada kes ini sudah dibicarakan dan dikenakan hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang, manakala selebihnya masih dalam proses siasatan dan tindakan pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.
Saifuddin menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta beliau menyatakan jumlah kes tangkapan dan pendakwaan terhadap kes-kes penyalahgunaan kad pengenalan termasuk kecurian identiti dan penjualan kad pengenalan.
Zahir turut meminta beliau menyatakan strategi yang dilaksanakan bagi memastikan data pemilik kad pengenalan dilindungi dari kecurian identiti dan penjualan kad pengenalan serta mekanisme penguatkuasaan dan pencegahan yang berkesan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan strategi menyeluruh untuk membendung masalah ini merangkumi aspek penguatkuasaan, pencegahan serta pendidikan awam.
“Dari sudut penguatkuasaan, JPN bersama agensi lain sentiasa mempergiatkan operasi bersepadu bagi membanteras penyelewengan, pemalsuan serta penjualan kad pengenalan.
“Sebuah pasukan khas siasatan di bawah JPN turut diwujudkan khusus bagi mengesan sindiket penjualan identiti.
“Selain itu, pelaksanaan naziran bersepadu dalam bentuk pemeriksaan mengejut secara berkala terus dijalankan bagi memastikan kepatuhan terhadap prosedur kerja yang ditetapkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




