anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah dengan kerjasama Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) menganjurkan Program Jerayawara Jelajah Integriti SPRM Kedah Tahun 2025 bertempat di Pejabat SPRM Anak Bukit, Kedah.
Program ini adalah inisiatif strategik dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti, memperkasa akhlak mulia serta memastikan kesiapsiagaan mental dan fizikal warga kerja SPRM Kedah dalam melaksanakan amanah dengan cemerlang.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong berkata, program seumpama itu adalah langkah pencegahan dan kawalan ke atas pegawai SPRM, khususnya di Negeri Kedah.
“Kita tidak perlu menunggu berlaku kejadian perlanggaran peraturan untuk bertindak. Langkah pencegahan dan peringatan sebegini lebih penting dalam memastikan tahap disiplin, kesihatan mental dan produktiviti pegawai sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Program ini menampilkan tiga modul latihan komprehensif iaitu integriti dan agama oleh ustaz Dr Ahmad Zaky Md Ali (BCP), yang menekankan nilai-nilai murni dan konsep integriti dari perspektif agama.
“Ia diikuti aspek psikologi oleh Azlan Seruji (BCP), yang memberi fokus kepada pengurusan emosi, tekanan kerja dan kepentingan kesihatan mental. Modul ketiga adalah tatatertib oleh PPj Norhushaffiz Hussin (BCP), yang memperincikan peraturan tatatertib serta implikasi serius pelanggaran etika kerja,” katanya.
Menurutnya, selari dengan komitmen SPRM terhadap integriti dalaman, ujian saringan air kencing turut dijalankan ke atas semua pegawai dan kakitangan SPRM Kedah.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan warga kerja bebas daripada pengaruh dadah dan ketum, serta memperkukuh kesiapsiagaan fizikal dan mental.
“Program ini juga menyokong aspirasi Program Keep Malaysia Clean (KMC) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Oktober 2025, yang menekankan pembudayaan nilai murni dalam masyarakat. Ia turut mematuhi arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang menegaskan bahawa setiap warga SPRM wajib menjaga disiplin dan menjauhi penyalahgunaan dadah,” katanya.
Menurutnya, SPRM Kedah komited untuk terus memperkasa integriti, profesionalisme dan kesejahteraan warga kerja demi menjunjung amanah negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
