34.81 peratus pencarum Islam KWSP Selangor pilih Simpanan Syariah

34.81 peratus pencarum Islam KWSP Selangor pilih Simpanan Syariah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan 542,844 atau 34.81 peratus daripada lebih 1.55 juta pencarum KWSP beragama Islam di Selangor berdaftar di bawah akaun Simpanan Syariah.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, angka ini menunjukkan ruang yang masih luas untuk pihaknya meningkatkan lagi penyertaan, terutamanya melalui kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Yang dimaterai hari ini.

“Usaha ini boleh dilakukan memandangkan majoriti umat Islam di Selangor berada dalam capaian pelbagai program sosial dan ekonomi diuruskan oleh MAIS.

“Menerusi kerjasama ini, KWSP berharap lebih ramai masyarakat Islam di Selangor akan terdorong untuk menyimpan secara konsisten demi hari tua yang lebih sejahtera dan terjamin, di samping mendapat manfaat daripada pelbagai perkhidmatan dan inisiatif yang ditawarkan melalui jaringan MAIS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman antara KWSP dan MAIS di Hotel Concorde di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin.

Mohd Zuki berkata, kerjasama hari ini menjadi simbol kesinambungan kepada usaha terdahulu dalam memupuk kesedaran kewangan, memperluas capaian keselamatan sosial, dan memperkukuh sistem sokongan kepada golongan B40, asnaf, serta mereka yang bekerja sendiri tanpa perlindungan formal.

Jelasnya, melalui MoU ini, KWSP dan MAIS akan bekerjasama memperkukuh kesedaran tentang kepentingan simpanan persaraan dan keselamatan sosial dalam kalangan umat Islam khususnya di negeri Selangor.

“Usaha ini turut memfokuskan kepada peluasan penyertaan i-Saraan khususnya bagi golongan bekerja sendiri, penjaja, usahawan kecil serta asnaf produktif di bawah program MAIS, selain meneroka peluang kolaborasi dalam kempen dan penglibatan komuniti agar lebih ramai rakyat dilindungi di bawah KWSP.

“Saya yakin, pemeteraian memorandum persefahaman antara KWSP dan MAIS pada hari ini menjadi titik permulaan kepada satu perjalanan kerjasama jangka panjang yang akan membawa manfaat bukan sahaja kepada rakyat Selangor, tetapi juga kepada pembangunan sosioekonomi negara secara keseluruhan.

“Bagi pihak KWSP, kami amat menghargai kesediaan dan komitmen MAIS untuk bersama menjayakan inisiatif ini. Insya Allah, dengan niat yang tulus dan usaha yang berterusan, kerjasama ini akan menjadi contoh unggul bagaimana institusi awam dan agama boleh berganding bahu demi kebajikan bersama,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, KWSP dan MAIS turut berkongsi hasrat untuk memperkukuh celik kewangan Islam dalam kalangan masyarakat.

“Usaha ini penting agar umat Islam memahami hubungan yang saling melengkapi antara perancangan kewangan, tanggungjawab zakat dan kesejahteraan keluarga.

“Inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi Selangor sebagai sebuah negeri pintar, berdaya huni dan makmur, serta menjadi contoh bagaimana kesejahteraan material dan spiritual boleh digerakkan seiring demi kemaslahatan ummah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top