Arwah Jalil Hamid kecewa tidak dapat tunai haji – anak

Arwah Jalil Hamid kecewa tidak dapat tunai haji – anak

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam : “Memang dia sedih dan kecewa tidak dapat pergi menunaikan haji.”

Itu luahan anak Allahyarham Jalil Hamid iaitu Afiqah Jalil, ketika menceritakan impian bapanya yang tidak kesampaian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji akibat masalah kesihatan jantung.

Afiqah, 33, berkata, hasrat terbesar bapanya itu sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini selepas tertangguh pada tahun lalu, namun keadaan jantungnya yang membengkak menghalang impian itu daripada menjadi kenyataan.

Menurutnya, walaupun arwah sudah pun menghadiri kursus haji sebagai persediaan, takdir menentukan bapanya tidak dapat meneruskan niat suci itu.

“Tahun lepas tidak dapat pergi, ibu sahaja yang pergi seorang. Tahun ini sudah pergi kursus haji semua, tetapi tidak dapat sebab masalah jantungnya. Jadi dia memang agak kecewa dengan situasi itu.

“Kami pun ada cakap, tidak mengapalah. Tetapi dia memang kecewa sebenarnya, memang dia sedih tidak dapat pergi,” katanya kepada Harian Metro.

Selain hasrat haji yang terkandas, Afiqah turut berkongsi rasa terkilan apabila arwah bapanya tidak sempat menghadiri majlis pelancaran bukunya yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada hujung minggu ini.

Malah, Afiqah sudah pun menyiapkan segala urusan dokumen termasuk memperbaharui pasport bapanya semalam.

“Dalam perjalanan pergi kerja tengah hari tadi, ibu hubungi saya dan cakap, ‘Ika, patah balik. Ayah tidak sedarkan diri’. Jadi saya pun patah balik tengok memang badan dia sudah sejuk dan pucat.

“Kami cuba kejutkan tapi memang tiada tindak balas. Perancangannya memang mahu ke Singapura pada Jumaat ini untuk pelancaran bukunya, saya pun berasa teruja sebab saya yang tolong pasarkan buku ini. Saya tidak sangka pula tidak sampai hajat dia,” katanya.

Mengimbas kembali perbualan terakhir, Afiqah memberitahu bapanya sempat berseloroh mengenai keinginan untuk menjual rumah mereka kerana berasa penat untuk menguruskannya selepas bersara.

Walaupun arwah mempunyai sejarah penyakit jantung bengkak dan sering mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pemergiannya dalam tidur dipermudahkan.

Selain itu, Afiqah berasa syukur kerana sempat merakam kenangan indah menyanyikan lagu Aidilfitri bersama bapanya pada tahun ini sebagai kenangan abadi.

Difahamkan, Allahyarham juga sepatutnya terbabit dalam penggambaran sebuah drama pada malam ini, namun urusan itu kini terpaksa tergendala susulan pemergian pelakon veteran itu.

Jalil, 69, disahkan meninggal dunia dalam tidur tengah hari tadi. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Hayati Sariat, 62, dan enam cahaya mata.

Jenazah disempurnakan di Masjid Al-Munawwarah, Shah Alam dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top