Kepulangan Messi ke Barca tidak realistik

Kepulangan Messi ke Barca tidak realistik

Barcelona: Hasrat penyokong Barcelona untuk menyaksikan kepulangan semula Lionel Messi ke kelab itu disifatkan sebagai sesuatu yang “tidak realistik”, kata presiden kelab, Joan Laporta, semalam.

Bintang Argentina berusia 38 tahun itu mencuri tumpuan apabila membuat kemunculan mengejut di Stadium Camp Nou, Ahad lalu, sambil meluahkan harapan agar “suatu hari nanti saya dapat kembali, bukan sekadar untuk mengucapkan selamat tinggal sebagai pemain, kerana saya tidak pernah berpeluang melakukannya.”

Pemenang lapan kali anugerah Ballon d’Or itu yang juga penjaring terbanyak dan pemegang rekod penampilan bersama Barca meninggalkan kelab berkenaan pada 2021 untuk menyertai Paris Saint-Germain selepas dua dekad di Catalonia, susulan kedudukan kewangan kelab yang tidak stabil ketika itu menghalang mereka daripada mengekalkan khidmatnya.

“Dengan penuh rasa hormat terhadap Messi, semua profesional di kelab, Barcelona, serta ahli-ahli kelab, saya percaya tidak wajar untuk saya membuat spekulasi mengenai sesuatu yang tidak realistik. Ia juga bukan sesuatu yang adil,” kata Laporta kepada Catalunya Radio.

Laporta, yang turut menerajui kelab ketika detik perpisahan Messi dahulu, menegaskan beliau tidak menyesali apa yang berlaku kerana “Barcelona berada di atas segala-galanya.”

Namun, Laporta mengesahkan beliau berhasrat menganjurkan satu perlawanan khas sebagai penghormatan kepada karier Messi di Camp Nou sebaik sahaja stadium itu siap di naik taraf sepenuhnya.

“Segalanya tidak berakhir sebagaimana yang kami harapkan… jika penghormatan ini boleh menebus apa yang tidak sempat dilakukan dahulu, saya fikir itu sesuatu yang baik.

“Adalah wajar untuk dia menerima penghormatan (perlawanan) terbaik di dunia, dan amat indah jika ia diadakan di sini, di depan 105,000 penyokong,” tambah Laporta.

Presiden kelab itu turut menjelaskan bahawa kunjungan mengejut Messi ke stadium pada Ahad lalu adalah tindakan spontan yang menggambarkan kasih sayangnya terhadap kelab berkenaan.

Messi kini berada di Sepanyol bersama skuad kebangsaan Argentina yang sedang menjalani latihan menjelang aksi persahabatan menentang Angola.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top