Los Angeles: Acara 100 meter (m) wanita bakal menjadi tumpuan utama pada hari pertama temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028, susulan jadual baharu yang menyaksikan acara olahraga dipindahkan ke minggu pertama langkah yang turut memberi peluang kepada perenang untuk menghadiri upacara pembukaan.
Pegawai LA28 memaklumkan penjadualan semula itu dibuat atas faktor logistik venue kerana Stadium SoFi akan menjadi lokasi bagi sebahagian upacara pembukaan serta acara renang, manakala acara olahraga akan berlangsung di Stadium Memorial Los Angeles.
Penganjur berkata, langkah itu bagi membolehkan SoFi Stadium ditukar kegunaannya untuk acara akuatik pada minggu kedua temasya.
“Kami mahu membuka temasya dengan impak besar,” kata Ketua Bahagian Sukan dan Pengurusan LA28, Shana Ferguson, sambil menyifatkan acara 100m wanita sebagai “antara perlumbaan paling banyak ditonton sepanjang temasya Olimpik.”
Bekas juara Olimpik empat kali dalam acara renang, Janet Evans, berkata penjadualan semula itu membolehkan lebih ramai perenang menghadiri upacara pembukaan, sesuatu yang sering mereka terlepas kerana jadual pertandingan biasanya bermula keesokan harinya.
“Kami mahu memastikan atlet benar-benar dapat merasai pengalaman Olimpik sepenuhnya,” kata Evans, yang kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Atlet LA28.
Ferguson menjelaskan jadual berkenaan dirangka bersama Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) serta persekutuan sukan antarabangsa, dengan mengambil kira aspek kebajikan atlet, waktu siaran televisyen dan keadaan tempatan seperti suhu, pasang surut air laut serta sudut cahaya matahari untuk acara luar.
“Faktor cuaca turut diambil kira bukan sahaja untuk atlet, tetapi juga untuk penonton,” katanya, sambil menambah bahawa kebajikan kuda yang bertanding dalam acara ekuestrian juga diberi perhatian.
Hari pertama temasya turut akan menyaksikan penganugerahan pingat pertama LA28 menerusi acara triatlon wanita, selain merekodkan bilangan final wanita terbanyak dalam satu hari dalam sejarah Olimpik.
Hari ke-15 pula dijadualkan menjadi “Super Saturday”, dengan 26 sesi penganugerahan pingat membabitkan 23 sukan.
Penganjur turut menjangkakan penyertaan atlet wanita melebihi separuh kuota keseluruhan, serta menampilkan sukan baharu seperti flag football dan skuasy, di samping kepulangan sukan kriket, lacrosse dan besbol/sofbol.
Ferguson turut memaklumkan bahawa LA28 merancang untuk menjual kira-kira 14 juta tiket merangkumi 51 acara sukan di 49 venue, dengan jualan awam dijangka bermula pada April 2026 selepas pendaftaran dibuka pada Januari tahun sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




