Krisis bekalan global: PM arah MITI, Kementerian Ekonomi adakan libat urus dengan industri pembuatan

Krisis bekalan global: PM arah MITI, Kementerian Ekonomi adakan libat urus dengan industri pembuatan

Kuala Lumpur: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Kementerian Ekonomi telah diarahkan untuk melaksanakan libat urus lanjut dengan pemain industri pembuatan yang sedang berdepan tekanan akibat krisis bekalan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di media sosial X pada Isnin, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipengerusikannya petang tadi telah meneliti langkah memperkukuh daya tahan sektor pembuatan.

Beliau berkata antara diberi perhatian ialah industri plastik yang menjadi penyokong kepada pelbagai sektor strategik termasuk pembungkusan makanan, elektrik dan elektronik (E&E), automotif serta peranti perubatan.

“Kerajaan mengambil serius pandangan dikemukakan oleh pemain industri.

“Saya telah mengarahkan MITI bersama Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan libat urus lanjut dengan pihak industri bagi merumuskan penyelesaian yang dapat mengurangkan tekanan kos serta memastikan keseluruhan ekosistem pembuatan negara terus berdaya tahan dalam jangka panjang,” katanya.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam Taklimat Krisis Bekalan Global di laman Facebook kementerian itu hari ini berkata industri plastik merupakan industri sokongan kepada banyak sektor dan pada 2025, nilai jualannya berjumlah RM62.69 bilion, berbanding RM64.78 bilion pada 2024.

“Pembungkusan mewakili 45 peratus pasaran, manakala elektrik dan elektronik sebanyak 29 peratus. Apabila industri plastik tertekan, kesannya boleh merebak kepada pembungkusan makanan, komponen E&E, automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian dan eksport pembuatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top