PRN: BERSATU, PH Melaka runding kerjasama malam ini?

PRN: BERSATU, PH Melaka runding kerjasama malam ini?

am@hmetro.com.my

Melaka: Ketika rundingan kerjasama politik rancak diperkata menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) malam ini dikatakan bertemu pimpinan kanan Pakatan Harapan (PH) negeri menerusi jamuan makan malam tertutup.

Jamuan itu berlangsung di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini.

Antara pemimpin yang dilihat hadir ialah Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya BERSATU Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Sri R Sanjeevan dan Ketua Penerangan BERSATU Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Selain itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat; Pemangku Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali.

Kehadiran pemimpin dua blok parti berbeza itu sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai agenda utama jamuan makan malam terbabit dan perkembangan terbaharu yang menjelang menjelang PRN Melaka.

Sementara itu, Hishamuddin yang ditemui berkata, pemimpin BERSATU dan PH hanya bertemu untuk jamaun makan malam santai yang dianggap sebagai suai kenal bagi mendapatkan pandangan awal semua pihak berhubung PRN Melaka.

Menurutnya, lebih 25 individu dijangka hadir pada pertemuan berkenaan.

“Bagaimanapun, perbincangan mengenai kerjasama masih terbuka dan ruang untuk berbincang dengan semua pihak juga masih ada,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan PH Melaka dijangka bergerak menerusi formula PH Plus tanpa pembabitan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dilapor berkata, setakat ini tiada rundingan dengan BN manakala perbincangan dengan beberapa parti lain yang mempunyai aspirasi sama masih berjalan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top