Perniagaan di Jalan Masjid India beroperasi seperti biasa

Perniagaan di Jalan Masjid India beroperasi seperti biasa

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perniagaan di sekitar Jalan Masjid India beroperasi seperti biasa susulan penutupan jalan akibat mendapan tanah di Jalan Bunus, di sini, kelmarin.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati pekedai dan penjaja di sini menjalankan perniagaan seperti biasa.

Jurujual emas, Muhammad, 41, berkata insiden mendapan itu tidak menjejaskan perniagaan mereka walaupun laluan bagi kenderaan ditutup hampir sepanjang hari semalam.

“Semua jalan macam biasa, semalam pun okay tidak banyak terjejas perniagaan sebab masih ada pelanggan masuk,”katanya.

Turut sependapat pekerja kedai baju, Abdul Majid Muhaimin, 23, yang berkata, perniagaan berjalan seperti biasa berikutan laluan pejalan kaki masih dibuka untuk orang ramai.

“Semalam dia tutup (jalan) sejak pagi, dalam pukul 8 lebih kalau tak silap saya, tetapi kecil sahaja kawasan yang dia tutup.

“Orang masih boleh jalan kaki (di siar kaki), motosikal pun boleh lalu di atas ini (siar kaki) jadi saya rasa tak ada terjejas sangatlah perniagaan kami,” katanya.

Kelmarin Harian Metro melaporkan, satu lagi kejadian mendapan tanah dilaporkan berlaku sekitar Masjid India tetapi kali ini di Jalan Bonus, di sini, pada 8.39 pagi.

Susulan itu, DBKL mengeluarkan satu lagi kenyataan memaklumkan kejadian itu dipercayai berpunca daripada gangguan pada kestabilan struktur turapan di kawasan berkenaan.

DBKL dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati mendapan itu berlaku secara setempat yang menandakan terdapat gangguan.

Kerja-kerja pembaikan permukaan jalan sudah dilaksanakan dan siap sepenuhnya pada jam 6 petang semalam.

Pada 23 Ogos 2024, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, hilang selepas terjatuh ke lubang benam sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top