USIA 15 tahun sebagai anak seni dalam industri hiburan adalah petanda bahawa seorang penyanyi itu sudah pun mempunyai kumpulan peminat yang solid.
Namun, jika menyemak diskografi Hael Husaini atau Hal Husaini Razmi, 39, dia tidak hanya menyerlah sebagai penyanyi malah turut menjadi salah seorang komposer bertaring di Malaysia.
Lagu-lagu ciptaan Hael pasti akan menduduki senarai finalis dan menjadi pemenang anugerah muzik berprestij di Malaysia. Walaupun dikira muda, nama Hael dikira layak menjadi antara penerima
Anugerah Ikon Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40 di samping Faizal Tahir.
Terharu menerima penghargaan tersebut, penyanyi asal Negeri Sembilan itu mengimbas semula perjalanannya yang hampir berputus asa sebagai penyanyi. Bagaimanapun, lagu Jampi mengubah perjalanan kerjayanya walaupun pada asalnya lagu itu dicipta untuk orang lain.
“Fasal berputus itu, sudah pasti saya sudah lalui macam-macam. Orang pun sudah nampak saya dalam banyak program realiti, cuba nasib.
“Sampai satu tahap lepas program realiti yang terakhir, kerjaya saya tak berapa menjadi. Ketika itu terfikir mahu buat kerja belakang tabir sahajalah,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Anugerah Juara Lagu ke-40, baru-baru ini.

Bagaimanapun bagi Hael, penghargaan yang diterima itu memberikan petanda bahawa rezeki tidak pernah salah alamat untuk yang berusaha.
Apabila ditanya mengenai gelaran ‘Golden Touch’ kerana setiap lagu ciptaannya
sering menjadi hit besar, Hael tidak mempunyai cara istimewa selain memastikan lagu dihasilkan dicipta khas oleh penyanyi itu.
“Saya tak pasti pasal ‘Golden Touch’ itu, tapi bagi saya ia adalah rezeki artis itu sendiri dan rezeki saya juga. Kami berkongsi rezeki yang Tuhan berikan.
“Saya tak pasti bagaimana nak respons gelaran itu, mungkin rezeki artis itu sendiri jadi kita kongsi rezeki. Tapi ada sahaja lagu saya yang tak sampai piawaian mereka mahukan.
“Cuma memang dari dulu saya memang diajar untuk kalau buat lagu kena jumpa penyanyi dan berbual mengenai apa yang hendak disampaikan.
“Lagu itu kena sesuai untuk karakter mereka,” katanya.
Bercakap mengenai khabar angin kononnya dia mengenakan harga yang tinggi sekiranya artis meminta lagu daripadanya, Hael ketawa.
“Eh tak lah! Tak adalah, kalau nak ikutkan sepanjang bekerja saya lebih bergantung kepada karya itu sendiri.
“Sebab saya tak nak karya yang dibuat hanya sia-sia untuk mereka. Sebab ini adalah harapan dan kepercayaan mereka untuk saya.
“Jadi yang paling penting apabila kita buat lagu itu, kejayaan itu dapat dirasai dan dikongsi bersama,” katanya.
Satu memori yang tidak dapat dilupakan adalah apabila anugerah itu turut diterimanya bersama Faizal Tahir yang pernah menjadi salah seorang individu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan awalnya.
“Saya pernah pergi uji bakat dengan Faizal Tahir. Dia bisik lirik dekat telinga saya. Daripada program ujibakat itu, sampailah saya masuk program lain, Faizal Tahir sentiasa menjadi inspirasi saya.
“Sekarang, saya dapat berdiri di sebelahnya sebagai salah seorang idola saya,” katanya.




