am@hmetro.com.my
Seremban: Tiga rakan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar 227.6 gram dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines pada 2020.
Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap K Kaviwarman, 29, N Gobinath, 30, dan S Dinesh Kumar, 32.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh. Dengan itu mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri,” katanya dalam penghakiman ringkas, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh secara bersama didapati mengedar dadah berbahaya jenis heroin (174.8 gram) dan monoacetylmorphines (52.8 gram) dengan berat keseluruhan 227.6 gram.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 2.30 petang di lorong belakang kedai di Dataran Sentral, di sini, pada 3 Julai 2020.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,
Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantunghendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Hazwani Omar manakala tertuduh pertama, Kaviwarman diwakili peguam S Kartikeyan dan M Gopinathan.
Tertuduh kedua dan ketiga pula diwakili peguam Datuk Chee Kuat Lim.
Kartikeyan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, anak guamnya yang masih bujang dan berasal dari Johor sangat gembira dengan keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskannya,.
“Tertuduh direman sejak lima tahun lalu, lebih menyedihkan ketika ditahan dua tahun lalu dia tidak dapat melawat bapanya yang meninggal dunia akibat sakit tua,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




