bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini melakukan lawatan kerja ke Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam, bagi menyaksikan persediaan dilakukan untuk menghadapi peningkatan kes COVID-19.
Kementerian Kesihatan (KKM) di laman Facebook, berkata antara persediaan yang sudah dilaksanakan adalah meningkatkan kapasiti wad serta katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menerusi langkah ‘repurpose’ fasiliti kesihatan KKM.
Katanya, lawatan yang dilakukan juga bertujuan untuk menjalin kerjasama kolaborasi dengan hospital pengajar seperti Hospital UiTM Puncak Alam.
“Dr Adham melihat sendiri penyediaan wad ICU dan keperluan logistik di hospital itu bagi membantu kerajaan menangani COVID-19 secara bersepadu.
“Di samping itu, beliau turut meninjau fasiliti yang ada di hospital berkenaan supaya ia dapat dikongsi secara optimum serta membincangkan kerjasama strategik bersama UiTM bagi meningkatkan keupayaan negara dalam menangani wabak COVID-19 melalui strategi ‘whole of government approach’,” katanya.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, Prof Dr Roziah Janor dan Pengarah Hospital UiTM, Prof Dr Sazzli Shahlan Kasim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




