puterialia@hmetro.com.my
Hulu Kelang: Mengundang kecaman orang ramai mengenai babak suka sesama jantina dalam drama Madu Atau Racun, saluran penstriman dalam talian, iQIYI bersetuju untuk menyunting babak yang tidak bersesuaian dalam drama berkenaan.
Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam berkata pihaknya memahami garis panduan Lembaga Penapisan dan sedia bekerjasama untuk memperbetulkan keadaan.
“Cerita ini tiada kaitan dengan aktiviti songsang, ia membawa mesej mengenai tanggungjawab suami apabila berkahwin dua dan peranan isteri-isterinya.
“Banyak pengajaran yang boleh diambil menerusinya. Cuma apabila klip-klip yang ditayangkan disalah tafsir, ia bertukar menjadi isu sensasi.
“Walaubagaimanapun kami sedia mengambil langkah sewajarnya, melakukan perubahan dengan menyunting mana-mana babak yang tidak sesuai untuk tontonan umum dan meneliti enam episod awal yang telah ditayangkan,” katanya
Dinesh berkata demikian ketika ditemui di Sesi Pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bersama peneggerak industri kreatif di Dewan Samad Idris di Kompleks FINAS, Hulu Klang, hari ini.
Dalam sesi pertemuan berkenaan, turut hadir wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).
Terdahulu drama 12 episod itu dikecam hebat apabila terdapat penayangan beberapa babak yang menjurus kepada aktiviti songsang atau LGBT membabitkan pelakon Elisya Sandha dan Uqasha Senrose.
Dalam pada itu, babak-babak tersebut disunting netizen dan ditayangkan di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd
